Audi lancar tujuh model EV e-tron di Malaysia harga bermula RM383,990 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Audi lancar tujuh model EV e-tron di Malaysia harga bermula RM383,990

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 16 Jun - PHS Automotive Malaysia (PHSAM) hari ini melancarkan tujuh model elektrik sepenuhnya Audi e-tron ke pasaran Malaysia dengan harga bermula RM383,990.

 

Pengarah Urusan PHSAM, Erik Winter berkata, maklum balas daripada pengedar dan pelanggan terhadap Audi e-tron adalah sangat menggalakkan. 

 

Beliau berkata, ia merupakan penawaran produk terbesar Audi di Malaysia dan pihaknya sangat teruja untuk menjadi negara pertama di rantau ini melancarkan Q8 e-tron. 

 

"Kenderaan mewah dan berprestasi tinggi ini sememangnya amat ditunggu-tunggu. Ia sudah bersedia untuk menawan hati serta imaginasi rakyat Malaysia yang mahukan pilihan mobiliti lebih mampan dan mesra alam.

 

"Bukan itu sahaja, saya berbesar hati untuk mengumumkan bahawa ini hanyalah satu permulaan. Ini kerana kami sudahpun berusaha untuk membawa masuk lebih banyak model e-tron ke sini termasuklah flagship SQ8 dan Q6 e-tron yang akan membuat debut global hujung tahun ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Terdiri daripada model SUV, sportback dan coupé empat pintu, rangkaian e-tron dibina khas dengan reka bentuk dan prestasi terbaik. Ia nyata mengukuhkan identiti Audi sebagai perintis masa depan dan membuktikan kecanggihan teknologi Audi. 

 

Q8 e-tron SUV menampilkan reka bentuk aerodinamik yang sangat efisien, rangkaian kuasa yang telah dioptimumkan dengan prestasi pengecasan lebih padu dan kapasiti bateri lebih tinggi, membolehkannya menawarkan jarak sehingga 582 kilometer (km).

 

 

audi

 

 

Varian e-tron GT terdiri daripada RS e-tron GT yang ikonik, e-tron GT quattro dengan Dynamic Package dan e-tron GT quattro. Jentera itu menjanjikan prestasi pemanduan dinamik, menerusi teknologi pacuan semua roda quattro elektrik yang revolusionari.  

 

Bagi meningkatkan lagi pengalaman pemilikan, semua model didatangkan dengan e-tron Charging System Compact mudah alih untuk memberi kemudahan mengecas di mana-mana sahaja. 

 

Sistem itu terdiri daripada satu unit pengecas kompak pintar dan kabel pasang pada kereta dan ke soket standard di rumah dengan output 1.8 kW hingga 2.3 kW atau menerusi bekalan kuasa tiga fasa yang mempunyai output 11 kilowatt (kW). 

 

 

audi

 

 

Pengecasan boleh ditetapkan kepada 100 dan 50% kuasa pada unit pengecasan bagi mengelakkan berlakunya masalah terlebih beban kepada sistem elektrikal rumah. 

 

Sebagai manfaat tambahan, pemilik juga akan menerima kredit JomCharge berjumlah RM1,000 secara percuma dengan tempoh sah selama setahun.

 

Selain itu, semua model Audi e-tron hadir standard dengan jaminan tanpa had perbatuan selama dua tahun, jaminan bateri selama 8 tahun atau jarak sejauh 160,000 km dan bantuan tepi jalan percuma selama 5 tahun. 

 

Pelanggan boleh mendapatkan Pakej Jaminan Audi (Audi Assurance Package, AAP) yang menawarkan jaminan tambahan dan penyelenggaraan selama 3 tahun dengan selang servis 15,000 km. - DagangNews.com