ATLAS Vending diiktiraf mesin layan diri NFT pertama negara oleh Malaysia Book Of Records | DagangNews Skip to main content

ATLAS Vending diiktiraf mesin layan diri NFT pertama negara oleh Malaysia Book Of Records

Ketua Pegawai Operasi MBOR, Christopher Wong Hong Wai (kanan) menyampaikan sijil pengiktirafan MBOR kepada Pengurus Kanan, Pemasaran dan Jualan Sampingan ATLAS Vending, Kalithasan Sothinathan di REXKL pada 17 Oktober 2022.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 18 Okt - ATLAS Vending diiktiraf sebagai mesin layan diri non-fungible token (NFT) pertama di Malaysia oleh Malaysia Book Of Records (MBOR), semalam. 

 

Terkenal dengan inovasi canggih seperti mesin bantuan Braille, mesin mesra kerusi roda, mesin pensampelan automatik dan mesin layan diri akhbar, ATLAS menyediakan edisi terbaharu mesin layan diri NFT yang menerima sambutan mengagumkan daripada rakyat Malaysia sejak pelancarannya pada Hari Malaysia bulan lalu. 

 

Naib Presiden Pemasaran Etika Sdn Bhd, Amy Gan berkata, pelancaran mesin layan diri NFT berjaya mengumpulkan orang ramai semasa Hari Malaysia. 

 

Beliau berkata, sambutan yang menggalakkan itu bukan sahaja meluaskan pengetahuan orang ramai mengenai NFT, tetapi juga memainkan peranan sebagai platform untuk meningkatkan ekonomi melalui seni dan budaya. 

 

"Selama bertahun-tahun kami menerima sokongan yang luar biasa daripada pelanggan di seluruh negara, dengan galakan dan sokongan mereka, kami berjaya melangkaui pelbagai batasan. 

 

"Anugerah dan pengiktirafan Malaysia Book of Records ini menandakan pencapaian yang signifikan bagi ATLAS, kerana kami sekali lagi membuktikan keupayaan kami untuk menggembirakan pelanggan dengan penawaran produk yang pelbagai," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Melalui kejayaan mesin layan diri NFT yang pertama, ATLAS juga memperkenalkan karya seni ke-14 yang direka oleh artis tempatan, Nymea yang juga terlibat dalam mesin layan diri NFT pertama dunia di New York, Amerika Syarikat. 

 

 

atlas

 

 

Nymea berkata, beliau mengetahui tentang kempen itu daripada salah seorang artis NFT, RoachPunk menerusi sosial medianya. 

 

"Tidak lama kemudian, ATLAS menjemput saya untuk bekerjasama dan saya sangat teruja dengan peluang ini untuk mempromosikan negeri-negeri di Malaysia bersama rakan-rakan artis NFT tempatan melalui karya seni kami dan untuk mewakili kampung halaman saya sendiri iaitu Wilayah Persekutuan.

 

"Ia amat bermakna apabila artis diberi perhatian untuk hasil karya kami sendiri. ATLAS dan artis-artis yang lain telah melakukan kerja yang luar biasa untuk menjadikan impian kami kepada realiti," katanya.

 

Dihadkan kepada 300 unit, 300 pembeli pertama yang memperoleh lima NFT daripada mesin layan diri ATLAS akan menerima  karya seni edisi terhad Nymea yang akan diberikan kepada mereka melalui  aplikasi MetaMask. 

 

Mesin layan diri itu akan tersedia dari 16 September hingga 16 Disember 2022 dan setiap NFT dijual pada harga RM59 melalui pembayaran nirtunai. - DagangNews.com