Astro rintis inovasi Pengiklanan Bersasar televisyen    | DagangNews Skip to main content

Astro rintis inovasi Pengiklanan Bersasar televisyen   

Platform strategi agnostik menjana pandangan holistik mengenai tabiat tontonan video pelanggan-pelanggan menerusi Televisyen Linear, Video On Demand dan Astro GO.
Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 14 Jun – Syarikat kandungan dan hiburan utama Malaysia, Astro Malaysia Holdings Bhd (Astro) kini menjadi perintis kepada inovasi pengiklanan televisyen menerusi perkhidmatan pengiklanan bersasar yang pertama di Asia Tenggara.

 

Mengorak langkah dalam sasaran digital menerusi televisyen dengan penggunaan data pihak pertama, pengiklan dan jenama mampu memaparkan pelbagai iklan ke pelbagai isi rumah yang menonton program yang sama.  

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Astro, Henry Tan berkata, sebahagian daripada pelan transformasi syarikat dalam memberikan pengalaman baharu Astro adalah mencipta semula penawaran pengiklanan untuk membuatkannya lebih menarik kepada warga pemasaran dalam dunia pemasaran yang didominasi oleh digital.

 

“Kami teruja dalam memulakan Pengiklanan Bersasar Astro, tahap terkini Pemasaran Televisyen yang menggabungkan kuasa keyakinan emosi televisyen dengan data pintar dalam memberikan peluang-peluang baharu untuk warga pemasaran dalam mencipta pengalaman peribadi televisyen yang lebih baik,” katanya pada majlis pelancaran perkhidmatan tersebut di sini hari ini.

 

Tan berkata, dalam mencapai para pengguna yang betul dan menarik minat mereka menerusi industri media yang sentiasa berkembang serta tabiat penggunaan yang semakin sofistikated, Pengiklanan Bersasar Astro menggabungkan skala perhatian yang tiada bandingan serta hubungan emosi yang dibawa oleh televisyen dengan sasaran tepat dan ukuran kempen maju yang memberikan fokus terhadap para penonton, diberikan dalam persekitaran jenama yang selamat pada skala premium.

 

 

Henry Tan
                                                       Henry Tan

 

Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan Astro, Shafiq Abdul Jabbar yang turut menyelia Data dan Pemasaran untuk kumpulan Astro berkata: “Kami rasa teruja melihat kombinasi kualiti dan ketercapaian televisyen dengan kekayaan data pihak pertama yang digunakan untuk mencipta segmen penonton yang ideal berpandukan pendapatan, lokasi, jenis dan tabiat pembelian, lantas mencipta konteks yang amat relevan untuk pengiklan dan iklan yang direka secara peribadi untuk para penonton.

 

Dengan peningkatan kemampuan sasaran data televisyen, Pengiklanan Bersasar Astro mampu berpandukan kepelbagaian jenis dan saiz industri serta perniagaan, dan buat pertama kalinya, membolehkan perusahaan kecil dan sederhana (SME) mengakses inventori televisyen.”

 

Dengan perkhidmatan yang fleksibel dan efektif, pengiklan mempunyai sasaran berpandukan data dan kemampuan pengukuran dalam mempertingkatkan prestasi iklan menerusi pengembangan data penonton, memberikan jenama-jenama peluang untuk mengakses deskriptor penonton berdasarkan data pihak pertama.

 

Sementara itu, penonton akan menikmati pengalaman yang lebih peribadi dan relevan dengan menonton iklan yang menggambarkan profil dan komuniti mereka.

 

 

Shafiq Abdul Jabbar
                                Shafiq Abdul Jabbar

 


Platform strategi agnostik menjana pandangan holistik mengenai tabiat tontonan video pelanggan-pelanggan menerusi Televisyen Linear, Video On Demand dan Astro GO.

  • Menerusi Televisyen Linear, Astro mempunyai bahagian tontonan sebanyak 72% dengan purata 11.3 juta tontonan harian dan secara purata 187 minit dihabiskan sehari.
  • Menerusi Video On Demand, penstriman video menerusi Astro Box yang bersambung meningkat 2.4 kali dari tahun ke tahun ke 530 juta. Manakala purata masa tontonan mingguan meningkat 17% dari tahun ke tahun ke 693 minit.
  • Menerusi Astro GO, pengguna bulanan kini mencecah 919,000 pengguna. Manakala purata masa tontonan mingguan meningkat 27% dari tahun ke tahun ke 244 minit.  

 

Perkhidmatan Pengiklanan Bersasar Astro telah dilaksanakan menerusi Video On Demand di Astro GO serta Ultra dan Ulti Box sejak November 2021. Manakala untuk Linear, ia akan dilancarkan secara berperingkat bermula Jun 2022 ini untuk mencapai nilai penonton isi rumah Astro yang tinggi.

 

Antara jenama besar yang sudah pun menggunakan Pengiklanan Bersasar Astro melaporkan peningkatan pertimbangan jenama setinggi 40% dan kesedaran jenama yang tinggi dengan nisbah penukaran pengguna yang kukuh pada 67%. – DagangNews.com