Astrazeneca manfaatkan kepakaran Sime Darby Motors percepat peralihan kepada kenderaan elektrik | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Astrazeneca manfaatkan kepakaran Sime Darby Motors percepat peralihan kepada kenderaan elektrik

KUALA LUMPUR 21 Julai - Firma automotif, Sime Darby Motors Malaysia (SDM) dan syarikat biofarmaseutikal global, AstraZeneca menjalin kerjasama untuk mempercepat penggunaan kenderaan elektrik (EV) menerusi SDM untuk pekerja AstraZeneca.

 

Menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani, ia menandakan komitmen AstraZeneca untuk beralih kepada kenderaan EV, seiring dengan program kemampanannya Ambition Zero Carbon bertujuan mengurangkan pelepasan karbon dan menangani perubahan iklim, kata kedua-dua pihak dalam satu kenyataan bersama hari ini seperti dilaporkan oleh Bernama.

 

Ambition Zero Carbon adalah strategi penyahkarbonan AstraZeneca untuk mengurangkan jejak karbon dan mencapai pelepasan sifar bersih untuk kesihatan planet.

 

“Menerusi kerjasama sedemikian, syarikat akan dapat memaksimumkan peralihan kepada EV untuk mengurangkan jejak karbon,” menurut AstraZeneca.

 

Kerjasama di antara sebuah syarikat biofarmaseutikal dan SDM ini adalah yang pertama di Malaysia dan merangkumi peruntukan kadar korporat kepada pekerja AstraZeneca untuk memiliki EV, khususnya BMW, BYD dan Hyundai.

 

Pengarah Urusan, Runcit dan Pengedaran bagi Asia Tenggara, Hong Kong dan Macau SDM, Jeffrey Gan berkata pihaknya mempunyai cita-cita berkaitan EV yang sangat jelas.

 

“Kami mempunyai cita-cita jelas, dengan rakan kongsi seperti AstraZeneca yang memainkan peranan penting sebagai pemboleh dalam membantu kami mencapai sasaran portfolio produk lebih cekap tenaga menjelang 2025 dan menjadi peneraju untuk EV di Malaysia,” katanya.

 

Menerusi tumpuan kepada portfolio produk lebih cekap tenaga, SDM sedang mengembangkan barisan EV, rangkaian pengecasan serta tenaga kerja berkemahiran tinggi untuk perkhidmatan runcit dan selepas jualan EV. - DagangNews.com