Asri Hamidon letak jawatan pengarah TNB berkuat kuasa 5 Jan 2023 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Asri Hamidon letak jawatan pengarah TNB berkuat kuasa 5 Jan 2023

Asri Hamidon

KUALA LUMPUR 6 Jan - Bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Seri Asri Hamidon meletakkan jawatan sebagai Pengarah Bukan Bebas Bukan Eksekutif Tenaga Nasional Bhd. (TNB) berkuat kuasa 5 Januari 2023.

 

Dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini, TNB turut mengumumkan peletakan jawatan pengarah ganti kepada Asri, Faisal @ Pisal Abdul Ghani berikutan tindakan yang diambil Asri berkuat kuasa tarikh yang sama.

 

Asri, 56, juga meletakkan jawatan sebagai pengerusi jawatankuasa tender pengarah, ahli jawatankuasa pencalonan dan imbuhan syarikat serta ahli jawatankuasa pelan insentif jangka panjang pengarah syarikat utiliti nasional itu.

 

"Lembaga Pengarah TNB ingin merakamkan penghargaan kepada beliau atas sumbangannya kepada syarikat," katanya.

 

Beliau dilantik ke lembaga pengarah pada 1 Julai 2020 sebagai pengarah yang dilantik oleh MoF Inc, pemegang saham khas TNB.

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Disember lalu dilaporkan berkata, terdapat pertukaran Ketua Setiausaha Perbendaharaan yang akan berlaku, memanggilnya sebagai tindakan 'biasa'.

 

Asri dilantik ke jawatan itu pada April 2020 di bawah kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengambil alih jawatan Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir selepas kontraknya tamat. - DagangNews.com