Aset perindustrian dijangka pacu pendapatan Axis REIT  | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Aset perindustrian dijangka pacu pendapatan Axis REIT 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 21 April - MIDF Research mengekalkan saranan 'beli' terhadap Axis Real Estate Investment Trust (REIT) dengan harga sasaran (TP) pada RM2.08 berikutan prestasi kewangan bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2022 memenuhi jangkaan firma tersebut. 

 

Dalam nota kajian hari ini, firma itu berkata, prospek pendapatan bagi Axis REIT dijangka kekal positif terutama menerusi aset perindustrian yang stabil didorong permintaan kukuh bagi ruang perindustrian. 

 

Katanya, pertumbuhan pendapatan juga akan dipacu menerusi pengambilalihan aset yang berpotensi dengan anggaran nilai sebanyak RM120 juta.

 

"Oleh itu, kami tidak membuat sebarang perubahan bagi unjuran pendapatan untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY22)/FY23.

 

"Kami juga mengekalkan saranan 'beli' kerana pendedahannya kepada aset perindustrian akan memacu pertumbuhan pendapatan yang stabil. Sementara itu, agihan hasil dianggarkan pada 4.6%," katanya.

 

Bagi tempoh suku pertama itu, Axis REIT mencatat untung bersih sebanyak RM39.84 juta daripada RM31.96 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya manakala jumlah pendapatan amanah naik kepada RM66.69 juta daripada RM57.48 juta.

 

Pendapatan bersih direalisasi daripada operasi berjumlah RM39.1 juta selepas menolak jumlah perbelanjaan sebanyak RM27.59 juta yang mana RM8.76 juta daripada perbelanjaan hartanah dan RM18.83 juta perbelanjaan bukan hartanah. 

 

Ia mencadangkan untuk mengagihkan 99% daripada pendapatan direalisasi yang tersedia bagi pengagihan yang dijana daripada operasi bagi suku pertama 2022.

 

Jumlah nilai aset bersih berjumlah RM2.53 bilion dan nilai aset bersih seunit (sebelum pengagihan pendapatan interim pertama 2022) ialah RM1.5488.

 

Setakat 9.19 pagi ini, harga sahamnya menokok 1 sen atau 0.53% kepada RM1.88 dengan 104,800 saham diniagakan. - DagangNews.com