Anugerah Global Tatesc Comics tawar hadiah lebih RM60,000 kepada penggiat komik | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Anugerah Global Tatesc Comics tawar hadiah lebih RM60,000 kepada penggiat komik

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 10 April - Setelah menganjurkan dua pertandingan Tatesc, syarikat penerbitan anime Kadokawa Group menjadikan pertandingan ketiganya kali ini sebagai Anugerah Global Tatesc Comics yang julung kali diadakan.

 

Acara ini membolehkan penyertaan dari seluruh dunia dan dalam enam bahasa berbeza termasuklah bahasa Inggeris, Melayu, Cina Tradisional, Cina, Thai dan Jepun.

 

Ketua Pegawai Eksekutif KGS, Chris Yew berkata, ini adalah pencapaian global yang dijayakan dengan kerjasama semua anak syarikat Kadokawa Group di luar negara. 

 

Katanya, pembukaan sempadan ini akan membolehkan artis komik untuk menyerlahkan bakat mereka dan bersinar dalam dunia komik Tatesc.

 

“Tiada had pengalaman atau umur untuk masuk dan penyertaan sama ada secara usaha sendirian atau berkumpulan/syarikat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Pemenang hadiah pertama setiap kumpulan bahasa akan mendapat ganjaran sebanyak AS$15,000 (RM66,150) manakala pemenang tempat kedua dan ketiga masing-masing akan membawa pulang AS$2,500 (RM11,025) dan AS$1,000 (RM4,410). 

 

Selain itu, pemenang anugerah akan diberi jaminan yang karya mereka akan dijadikan siri digital dan seorang editor akan ditugaskan untuk membantu penulis komik menerbitkan hasil kreatif masing-masing.

 

 

COMICS

 

 

Kadokawa yakin bahawa terdapat lebih banyak peluang untuk pemenang sepanjang tempoh pertandingan ini, yang mana ia telah dibuka pada 9 Mac lalu dan berakhir pada jam 11.59 malam, 31 Ogos 2023. 

 

Nama finalis akan diumumkan di laman web khas pada Oktober akan datang dan pemilihan akhir pula akan dimaklumkan pada November 2023. 

 

Setiap pemenang hadiah pertama, daripada setiap kategori bahasa, akan dijemput untuk menyertai majlis penyampaian anugerah yang dijadualkan pada Disember 2023 di Jepun. - DagangNews.com