Anak syarikat PRG Holdings, Furniweb ambil alih kepentingan dalam ESGL pada harga RM31.24 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Anak syarikat PRG Holdings, Furniweb ambil alih kepentingan dalam ESGL pada harga RM31.24 juta

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 9 Jun - Anak syarikat PRG Holdings Berhad, Furniweb Holdings Ltd memetrai perjanjian penjualan saham bersyarat dengan Energy Solution Global Ltd (ESGL) untuk mendapatkan baki 62.75% kepentingan ekuitinya pada RM31.42 juta.

 

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia, PRG yang terlibat dalam pembuatan jejaring (webbing), komponen perabot dan sektor hartanah berkata pertimbangan pembelian akan dilunaskan melalui tunai dan penerbitan saham biasa baharu dalam Furniweb.

 

Kumpulan itu berhasrat untuk mengurangkan kebergantungannya kepada aktiviti utama dengan mempelbagaikan perniagaannya dengan memasukkan perniagaan kecekapan tenaga melalui cadangan pengambilalihan.

 

Menerusi cadangan itu, ESGL akan menjadi anak syarikat milik penuh Furniweb sebaik sahaja pengambilalihan selesai.

 

"Cadangan pengambilalihan itu adalah sebahagian daripada strategi jangka panjang kumpulan untuk menceburi perniagaan kecekapan tenaga dan menambah baik kedudukan kewangan kumpulan PRG dalam jangka panjang apabila pengambilalihan selesai.

 

"Memandangkan harga tenaga akan meningkat pada masa hadapan, penjimatan tenaga akan menjadi tumpuan utama banyak syarikat sebagai langkah penjimatan kos.

 

"Selain itu, penjimatan penggunaan tenaga juga merupakan inisiatif kelestarian kerana ia membantu mengurangkan gas rumah hijau yang menyumbang kepada pemanasan global," katanya.

 

Kumpulan itu menjangkakan perniagaan kecekapan tenaga ESGL berpotensi menyumbang 25% atau lebih kepada keuntungan bersih kumpulan PRG dan menyaksikan pengalihan sebanyak 25% atau lebih aset bersih kumpulan ke arah perniagaan.

 

“Lembaga percaya cadangan pengambilalihan itu dijangka dapat meningkatkan prestasi kewangan ESGL serta nilai pemegang saham selepas mempertimbangkan prospek industri sistem pengurusan tenaga pemanasan, pengudaraan dan penyaman udara (HVAC-EMS) di Malaysia dan Singapura,” katanya. - DagangNews.com