Anak syarikat LBS Bina dan lima defendan lain disaman pertikaian pembayaran RM43 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Anak syarikat LBS Bina dan lima defendan lain disaman pertikaian pembayaran RM43 juta

Gambar hiasan LBS Bina Group Berhad
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 13 Ogos - Anak syarikat milik penuh LBS Bina Group Berhad iaitu Gerbang Mekar Sdn. Bhd. (GMSB) telah memfailkan memorandum kehadiran susulan saman dan penyata tuntutan oleh Mega Planner Jaya Sdn Bhd (Dalam Penggulungan) berhubung pertikaian bayaran berjumlah RM43.03 juta.

 

Dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia, LBS Bina berkata, saman itu difailkan Mega Planner Jaya selaku plaintif terhadap GMSB dan lima defendan lain di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

 

"Latar belakang kes ini bermula pada 8 Mac 2018 apabila LBS Bina melalui anak syarikat milik penuhnya Saujana Tunggal Sdn Bhd, telah mengambil alih keseluruhan pegangan saham ekuiti GMSB di mana selepas itu GMSB menjadi anak syarikat milik penuh tidak langsung LBS Bina.

 

"Sebelum pengambilalihan, pada 23 April 2014, GMSB telah memeterai Perjanjian Jual Beli (SPA) dengan Plaintif untuk memperoleh satu unit pusat beli-belah dan satu unit pejabat kedai beserta ruang letak kereta yang terletak di Setapak, Kuala Lumpur.

 

"Pelikuidasi Pliantif mendakwa bahawa sebahagian daripada jumlah pertimbangan untuk SPA, yang berjumlah RM43.03 juta, belum diselesaikan," katanya dalam pemakluman itu hari ini.

 

Menurut LBS Bina, plaintif menuntut terhadap GMSB dan defendan lain, secara bersama dan/atau berasingan jumlah keseluruhan RM43.03 juta berserta faedah yang dikira pada 5% setahun.

 

Kata pemaju perumahan itu, pada tarikh pengumuman ini, tiada kesan kewangan dan operasi yang ketara yang timbul daripada saman itu ke atas syarikat dan GMSB.

 

"Syarikat akan mengambil nasihat undang-undang yang diperlukan untuk mempertahankan perkara ini dan akan membuat pengumuman yang diperlukan  apabila terdapat perkembangan material berkaitan dengannya," jelasnya.

 

Pada 5 September 2017, LBS Bina dilaporkan media akan membeli Gerbang Mekar Sdn Bhd, pemilik dan pengendali pusat membeli-belah M3 Mall. - DagangNews.com