Anak syarikat IHH Healthcare di India mulakan proses IPO | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Anak syarikat IHH Healthcare di India mulakan proses IPO

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 7 Ogos - IHH Healthcare Bhd berkata Agilus Diagnostic Ltd yang dimiliki anak syarikat tidak langsungnya, Fortis Healthcare Ltd di India akan melaksanakan tawaran awam permulaan (IPO).

 

Dalam mesyuarat diadakan antara kedua-dua lembaga pengarah Fortis dan Agilus pada 4 Ogos 2023, mereka telah mempertimbangkan dan memberi kelulusan bagi Agilus memulakan proses IPO melalui tawaran penjualan ekuiti saham kepada pemegang saham sedia ada dan berkelayakan dalam IPO tersebut, menurut makluman IHH kepada Bursa Malaysia hari ini.

 

“Tempoh dan pelaksanaan IPO yang muktamad akan tertakluk kepada penentuan lembaga pengarah Fortis dan Agilus masing-masing, selepas mempertimbangkan keadaan pasaran semasa dan faktor berkaitan lain pada harga ditentukan mengikut peraturan Lembaga Sekuriti dan Bursa India (SEBI) di bawah Terbitan Modal dan Keperluan Pendedahan,” tambahnya.

 

IPO Agilus tertakluk kepada kelulusan ahli Fortis dan kelulusan kawal selia lain, di mana IHH akan membuat pengumuman selanjutnya sekiranya dan apabila terdapat perkembangan material.

 

Fortis menjadi anak syarikat IHH pada November 2018 setelah ia memperoleh 31.17% kepentingan dalam syarikat penyedia operasi penjagaan kesihatan yang berpangkalan di India tersebut.

 

IHH membeli pegangan saham tersebut melalui peruntukan keutamaan oleh Fortis kepada anak syarikat milik penuh tidak langsung IHH, Northern TK Venture Pte Ltd, dalam perjanjian AS$584 juta (RM2.66 bilion),

 

Pada waktu penulisan, saham IHH turun 8 sen atau 1.3% kepada RM5.93 dengan permodalan pasarannya berjumlah RM52.2 bilion.  - DagangNews.com