AmGeneral Insurance kini dikenali sebagai Liberty selepas ambil alih majoriti pegangan sepenuhnya | DagangNews Skip to main content

AmGeneral Insurance kini dikenali sebagai Liberty selepas ambil alih majoriti pegangan sepenuhnya

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 18 Sept - AmGeneral Insurance Bhd kini dikenali sebagai Liberty General Insurance Bhd, bagi memperkukuh kedudukan mereka sebagai sebuah syarikat insurans am terkemuka di Malaysia. 

 

Sebagai sebahagian daripada penggabungan yang berkuat kuasa mulai 1 April tahun ini, Liberty memasuki jalinan kerjasama bankasurans eksklusif selama 20 tahun untuk mengedarkan produk-produk insurans umum dengan AmBank Group, yang kini mempunyai pegangan saham Liberty sebanyak 30%. 

 

Liberty General Insurance merupakan sebuah anak syarikat Liberty Mutual Insurance, yang telah memperoleh 100% saham AmGeneral Insurance mulai Julai 2022. Sebelum ini, AmGeneral dimiliki oleh AmBank Group (51%) dan Insurance Australia Group (49%).

 

Dengan keberadaan Liberty di barisan hadapan industri, rakyat Malaysia boleh menjangkakan pilihan-pilihan insurans yang terbaik memandangkan syarikat insuran tersebut berhasrat untuk menyediakan pelan-pelan lebih menyeluruh dan komprehensif selaras dengan keperluan mereka. 

 

Liberty mengemudi perjalanan yang cukup mengujakan menerusi perkhidmatan yang disediakan kepada  lebih tiga juta pelanggan serta lebih 8,000 ejen dan rakan yang cukup berdedikasi. 

 

Perkhidmatan yang disediakan dari tiga jenama terkemuka, Liberty Insurance, Kurnia Insurans, dan AmAssurance, yang mana jenama-jenama ini menjanjikan rangkaian liputan unik dan meluas, merangkumi motor, rumah, perniagaan dan insurans kesihatan.  

 

Ketua Pegawai Eksekutif Liberty General Insurance, Puneet Pasricha (Pasha) berkata, matlamat pihaknya adalah untuk terus memenuhi tujuan kewujudan mereka dalam membantu orang ramai, para pelanggan dan masyarakat setempat.

 

"Kami teruja dengan pelbagai kemungkinan yang dibawakan dari hasil penggabungan ini memandangkan ia membolehkan kami memberikan hanya yang terbaik. Saya yakin bahawa kami akan semakin dikenali sebagai salah sebuah pemain utama insurans," katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.

 

Pasha berkata, Liberty kini sedang menggerakkan misi untuk bergelar syarikat insuran dengan keuntungan terbesar, syarikat insuran pilihan selaku jenama paling dipercayai di Malaysia dan mempunyai persekitaran kerja terbaik. 

 

 

liberty
Puneet Pasricha

 

 

Katanya, misi ini akan dipacu pengunderaitan dan inovasi produk terbaik, dengan memanfaatkan dapatan analitik dan data, serta kemajuan teknologi, pengalaman khidmat pelanggan yang luar biasa serta pengamalan DEI dan ESG yang bertanggungjawab. 

 

"Pemerkasaan prestasi tenaga kerja akan membantu kami merealisasikan matlamat-matlamat kami dengan membina budaya berprestasi tinggi, inklusif dan saksama yang mana tenaga kerja dari pelbagai latar belakang  bersama-sama berganding bahu dan terus menuju matlamat yang sama. 

 

"Keutamaan kami ialah memperkukuh hubungan kami dengan para pelanggan dan pihak yang berkepentingan. Ketahuilah bahawa anda sentiasa boleh bergantung harap dengan Liberty selaku syarikat insuran yang boleh anda percayai." katanya. - DagangNews.com