AME REIT cadang beli 3 hartanah perindustrian dalam tempoh 12 bulan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

AME REIT cadang beli 3 hartanah perindustrian dalam tempoh 12 bulan

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 20 Sept - I REIT Managers Sdn. Bhd., syarikat pengurusan AME Real Estate Investment Trust (AME REIT) bercadang untuk membeli tiga hartanah perindustrian dalam tempoh 12 bulan akan datang. 

 

Hartanah tersebut terletak di Plot 43 i-Park@Senai Airport City serta Plots 15 dan 16 di i-Park@Indahpura dengan keluasan 256,828 kaki persegi di kawasan perindustrian AME Elite Consortium Bhd. 

 

Tempoh pajakan bagi setiap hartanah itu dijangka untuk tempoh tetap selama 10 tahun, dengan Plot 43 dan 15 disasarkan untuk dimulakan pada suku ketiga 2022 manakala Plot 16 pada suku ketiga 2023.

 

Pengerusi dan Pengarah Eksekutif I REIT Managers, Simon Lee Sai Boon berkata, untuk tempoh lima tahun daripada penyenaraiannya di Bursa Malaysia hari ini, AME REIT memegang hak penolakan pertama oleh AME Elite bersama anak syarikatnya Ipark Development Sdn. Bhd. untuk memperoleh hartanah perindustrian dan asrama dengan perjanjian pajakan atau penyewaan. 

 

Katanya, kumpulan juga mempunyai hak untuk aset berkaitan yang mungkin disasarkan untuk pemerolehan pada masa hadapan oleh AME Elite dan anak syarikatnya, tertakluk kepada kriteria lain.

 

"Kami berharap cadangan pembelian tiga hartanah yang dikenal pasti ini akan meningkatkan portfolio kami dalam tempoh 12 bulan akan datang, menjadikan portfolio hartanah kami kepada 37 unit.

 

"Secara dasarnya, kami berada pada kedudukan yang baik sebagai REIT perindustrian untuk mendapat manfaat daripada pelaburan asing dan domestik yang masuk ke Malaysia, apabila mereka menubuhkan atau mengembangkan pangkalan operasi, justeru, kami yakin dapat mencapai pertumbuhan yang stabil pada masa hadapan," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

 

ame reit
Pengerusi dan Pengarah Eksekutif I REIT Managers, Simon Lee Sai Boon (lima dari kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif I REIT Managers, Chan Wai Leo (lima dari kanan) mengetuk gong ketika penyenaraian AME REIT di Bursa Malaysia pagi tadi.

 

 

Setakat ini, portfolio awalnya membabitkan 34 hartanah perindustrian dan asrama telah disewakan 100% masing-masing pada 15 Jun 2022 dan 15 Julai 2022, dengan syarikat multinasional membentuk lebih daripada 90% daripada jumlah kawasan boleh disewa bersih semasa bagi hartanah perindustrian yang dipajak.

 

AME REIT memulakan penampilan sulung di Papan Utama Bursa Malaysia pagi tadi dengan harga sahamnya dibuka premium pada RM1.14 sesaham, yang menyaksikan 1.06 juta saham diniagakan. 

 

Harga sahamnya meningkat sehingga RM1.20 sesaham dalam tempoh sejam setengah selepas disenaraikan. 

 

Dengan harga runcit akhir ditetapkan pada RM1.13 sesaham, AME REIT mempunyai pasaran modal hampir RM588 juta selepas tawaran awam permulaan (IPO).

 

Penyenaraian itu membolehkan AME REIT mempunyai ruang hutang yang mencukupi sehingga kira-kira RM240.8 juta untuk meneruskan potensi pengambilalihan, berdasarkan had yang ditetapkan sebanyak 50.0% daripada jumlah nilai aset.

 

Pelaksanaan IPO itu melibatkan tawaran sebanyak 254.8 juta unit, mewakili 49% daripada jumlah keseluruhan 520 juta unit dalam AME REIT. - DagangNews.com