AME bina kemudahan keenam HQ Pack di i-Park@Indahpura, dijangka siap 2H23 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

AME bina kemudahan keenam HQ Pack di i-Park@Indahpura, dijangka siap 2H23

Pengarah Bahagian Pembinaan AME, Eric Kang (dari kiri) bersama Pengarah Urusan Kumpulan AME, Kelvin Lee Chai; Pengarah Urusan HQ Pack Malaysia dan Singapura, Fadi Younis; Pengarah Eksekutif AME, Simon Lee dan Pengawal Kewangan Kumpulan AME, Gregory Lui dalam majlis pecah tanah pembinaan kemudahan HQ Pack keenam di i-Park@Indahpura, Johor Bahru, hari ini.
Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 12 Julai - AME Elite Consortium Bhd. mempercepatkan langkah pengembangan berterusan pelanggan berulangnya, HQPack Sdn. Bhd. (HQ Pack) dengan membina kemudahan keenamnya di 
i-Park@Indahpura, Johor Bahru.

 

Kontrak itu dilaksanakan selepas HQ Pack menerima penghantaran kemudahan pembuatan seluas 60,000 kaki persegi (kaki persegi) yang baru siap di i-Park@Indahpura pada November 2021.

 

Kemudahan bersepadu berteknologi tinggi yang dibina AME itu termasuklah ruang kejuruteraan khusus seperti bilik bersih ISO Kelas 6 dan bilik gelap ISO Kelas 5, bengkel kayu terkawal habuk dan pemasangan buih persekitaran terkawal.

 

Berkeluasan hampir 100,000 kaki persegi yang menempatkan sebuah gudang dan blok pejabat, kemudahan itu ijangka siap pada separuh kedua 2023 (2H23).

 

Pengarah Urusan Kumpulan AME, Kelvin Lee Chai berkata, dengan tanggungjawab membina kemudahan keenam HQ Pack, AME memperkukuhkan hubungan perniagaan dengan syarikat tersebut selama hampir satu dekad sekali gus membuktikan satu contoh perkongsian sinergi di mana taman perindustrian bersepadunya telah menyokong pertumbuhan syarikat antarabangsa terkemuka.

 

Katanya, pengembangan pantas HQ Pack juga akan menyumbang kepada kesan pengganda yang positif dalam mewujudkan peluang pekerjaan di Johor, dengan tenaga kerja di syarikat itu dijangka melebihi 400 orang menjelang 2023 daripada 210 buat masa masa ini.

 

"Selain kuantiti, kualiti tenaga kerja juga akan dipertingkatkan, memandangkan kepakaran teknologi tinggi HQ Pack.

 

"Pelaburan berskala besar yang berterusan seperti ini mengesahkan kedudukan Johor sebagai salah satu daripada 5 negeri teratas di Malaysia untuk jumlah pelaburan yang diluluskan.

 

"Taman perindustrian kami terus berusaha menarik pelaburan langsung asing dan domestik untuk menjadi enjin pertumbuhan bagi negeri dan negara," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

AME kini sedang membina 3 taman perindustrian bersepadu di Johor iaitu i-Park@Indahpura (Fasa 3), i-Park@Senai Airport City (Fasa 1, 2 dan 3) dan i-TechValley. 

 

Kesemua taman perindustrian ini menampilkan bangunan perindustrian yang dibina khas dalam kawasan berpagar dan berkawal yang terancang, dilengkapi kemudahan rekreasi dan asrama pekerja.

 

Sementara itu, HQ Pack, anak syarikat pengeluar pembungkusan berteknologi tinggi yang berpangkalan di Belanda, HQ Pack B.V., telah wujud di Malaysia sejak 2010. 

 

Beserta kemudahan di Singapura dan Amerika Syarikat, ia membangun, mengeluarkan dan mengedarkan pembungkusan untuk produk perindustrian berkualiti tinggi dan rapuh untuk syarikat terkemuka dalam sektor semikonduktor, elektronik, perubatan, optik, aeroangkasa, pembinaan mesin dan komponen mekanikal. - DagangNews.com