HULU TERENGGANU 5 Dis - Pertandingan Memancing Monsun Asean (AMCT) 2022 bukan sahaja menonjolkan keindahan Tasik Kenyir sebagai 'syurga dunia' untuk kaki pancing, malah meletakkan nama Terengganu terus kukuh dalam sektor pelancongan antarabangsa.
AMCT 2022 yang bermula pada Jumaat lalu telah melabuhkan tirainya hari ini dengan 1001 kenangan manis diukir oleh lebih 400 pesertanya setelah berkampung selama empat hari tiga malam di tasik kebanggaan penduduk Terengganu itu.
Program anjuran Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu tersebut bukan sahaja menjadi platform perhimpunan pemancing terbesar di Malaysia setakat ini, malah turut memberi limpahan ekonomi kepada pengusaha perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di Terengganu khususnya di daerah ini.
Tinjauan DagangNews.com mendapati, walaupun berlangsung dalam musim tengkujuh, namun AMCT 2022 tetap mendapat sambutan hangat dalam kalangan kalangan kaki pancing untuk memburu raja ikan di dasar tasik itu khususnya ikan toman dan sebarau.
Seorang peserta, Mohd Yus Azmie Yahya, 37, berkata, AMCT 2022 bukan sekadar satu pertandingan malah ia dapat mengeratkan komuniti pemancing dari seluruh negara yang selama ini hanya berhubung melalui media sosial.
"Tak banyak penganjuran memancing dalam skala yang besar di negara ini menyebabkan ramai menunggu-nunggu AMCT 2022 kerana ia adalah medan untuk kaki pancing menguji kemahiran mereka dalam menewaskan raja ikan di tasik ini.
"Di sini juga peluang kami untuk bertukar-tukar pengalaman dan pendapat dan berhubung isu-isu semasa berkaitan aktiviti ini, kebiasaannya peralatan memancing terbaharu yang berada di pasaran," katanya.


Pengerusi Persatuan Pelancongan Tasik Kenyir, Abdul Aziz Abdul Rahim pula berkata, penganjuran AMCT 2022 sangat dinanti-nantikan oleh penggiat industri pelancongan di kawasan itu kerana kedatangan mereka akan meningkatkan kuasa beli sepanjang tempoh penganjuran.
"Kali ini sebanyak 26 rumah bot dan 232 bot laju terlibat dalam AMCT 2022, malah tempahan rumah bot juga penuh sepanjang acara ini berlangsung kerana ramai juga yang bawa keluarga untuk bersiar-siar menikmati keindahan alam semulajadi Tasik Kenyir," katanya.

Beliau juga berharap penganjurannya akan diperhebatkan lagi pada tahun depan dengan lebih ramai penyertaan daripada luar negara agar impak positifnya dapat dinikmati semua penggiat industri.
Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata, sejak diperkenalkan pada tahun 2009, pertandingan berkonsepkan tangkap dan lepas itu semakin mendapat pujian daripada banyak pihak kerana turut menjaga kelestarian alam sekitar bagi jangka masa panjang.

Katanya, sepanjang tempoh itu, lebih 500,000 anak ikan pelbagai spesis seperti kelah, temoleh dan jelawat telah dilepaskan di dalam Tasik Kenyir.
"Ini penting sebagai inisiatif kerajaan dalam memelihara dan memulihara stok ikan air tawar di Tasik Kenyir agar mampu menjadi daya tarikan kaki pancing di seluruh dunia.
"Pada tahun ini pula, sebanyak 10,000 anak ikan lampam hasil sumbangan Jabatan Perikanan Terengganu telah dilepaskan dan kita harap usaha ini akan menampakkan hasil untuk generasi akan datang," katanya. - DagangNews.com








