KUALA LUMPUR 23 Dis - Allianz General Insurance Company (Malaysia) Berhad (Allianz General) melancarkan inisiatif penyelesaian tuntutan banjir pantas dan bantuan tundaannya untuk pelanggan yang terjejas akibat banjir.
Pelanggan Allianz General boleh menghubungi 1-800-22-5542 untuk bantuan menunda (Pemegang polisi Komprehensif Motor) atau untuk mempercepatkan tuntutan bagi mereka yang mempunyai insurans rumah atau komersial.
Ketua Pegawai Tuntutan Allianz General, Damian Williams berkata, pihaknya telah menempatkan kesemua 250 buah trak tunda Allianz Road Rangers dalam keadaan bersiap sedia di seluruh negara untuk memudahkan perkhidmatan penundaan.
Beliau berkata, mereka juga bersedia menggerakkan aset tuntutan banjir termasuk tujuh buah trak 4x4 berjenama Allianz, sebuah caravan tuntutan, dan sebuah pasukan penyelaras di seluruh negara untuk mempercepatkan siasatan bagi memastikan penyelesaian tuntutan pantas untuk pelanggan.
“Apabila melibatkan tuntutan banjir, kami ingin mendekati pelanggan dengan kadar segera dan memberikan mereka bantuan kewangan yang pantas.
"Selain itu, kami mengutamakan pelanggan dengan menyediakan perkhidmatan penundaan secara percuma untuk semua pemegang polisi Motor Komprehensif termasuklah mereka yang tidak mempunyai perlindungan peril khas, dan mengetepikan keperluan laporan polis apabila membuat tuntutan kerosakan banjir," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Untuk pemegang polisi individu seperti Smart Home Cover, syarikat akan membayar penyelesaian tuntutan penuh atau bayaran interim dalam masa lima hari selepas kunjungan penyelaras.

Dengan inisiatif khas ini, Allianz General juga menawarkan penepian untuk Fasal Nilai Pengembalian Semula, Fasal Gadai Janji dan kurang diinsuranskan.
Pemegang polisi insurans kebakaran Allianz General (jalur komersial) akan menerima pembayaran interim dalam masa lima hari selepas menerima kunjungan daripada penyelaras, dengan penyelesaian tuntutan penuh dibayar antara 21 hingga 28 hari setelah menerima kunjungan daripada pelaras.
Namun, sekiranya atas sebab apa pun, syarikat tidak dapat menyelesaikan tuntutan sebelum hari yang ke 28, maka pembayaran sementara kedua akan dibuat sebelum hari ke 30. - DagangNews.com








