Alliance Bank, SME Corp meterai MoU bantu PKS amalkan ESG melalui gabungan rumusan pembiayaan | DagangNews Skip to main content

Alliance Bank, SME Corp meterai MoU bantu PKS amalkan ESG melalui gabungan rumusan pembiayaan

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 18 Okt - Alliance Bank Malaysia Berhad dan SME Corporation Malaysia memeterai memorandum persefahaman (MoU) bagi membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mengamalkan prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) melalui gabungan rumusan pembiayaan dan bukan pembiayaan yang berkaitan.

 

MoU itu menandakan komitmen kedua-dua pihak untuk terus bekerjasama membangunkan dan menyediakan panduan ESG yang berfokuskan sektor, alat praktikal, serta pembiayaan hijau yang sepadan bagi membantu PKS dalam perjalanan penggunaan ESG. 

 

Kedua-dua organisasi juga akan menyokong amalan mampan melalui tinjauan pasaran, kumpulan fokus industri dan perbincangan panel untuk mendapatkan input dan maklum balas akar umbi daripada PKS sendiri.

 

Ketua Eksekutif Pegawai SME Corp, Rizal Nainy berkata, menerusi pelaksanaan PKSlestari, inisiatif pihaknya bertujuan menggalakkan dan mempercepatkan penggunaan amalan ESG dalam kalangan PKS dengan membangunkan ekosistem kelestarian PKS. 

 

"PKS akan mengambil sedikit masa untuk memperoleh pengetahuan dan kepakaran yang berkaitan untuk memacu kemampanan dalam operasi mereka. 

 

"Namun begitu, PKS harus memulakan usaha mereka ke arah ini dengan mengambil langkah kecil tetapi pasti untuk membantu merangka perjalanan mereka ke arah industri yang mampan, bagi memupuk penciptaan nilai jangka panjang untuk syarikat dan pemegang kepentingan mereka," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Alliance Bank, Kellee Kam pula berkata, pihaknya sentiasa memperjuangkan PKS dan melihat keperluan mendesak untuk mereka mula beralih menjadi lebih berorientasikan ESG bagi membina daya tahan perniagaan serta menangkap peluang pertumbuhan. 

 

 

alliance

 

 

"Pendekatan kami dibina berdasarkan konsep 3A yang bermaksud advokasi, nasihat dan jawapan – tiga tunjang yang bertujuan untuk menyediakan ekosistem lengkap untuk membantu pelanggan kami membina pelan hala tuju ESG mereka sendiri dan memulakannya menggunakan sumber berkaitan yang disediakan. 

 

"Memacu tonggak pertama ekosistem kami, Advokasi, adalah inisiatif kesedaran dan acara kepimpinan pemikiran yang kami laksanakan bersama rakan kongsi strategik kami seperti SME Corp.

 

"Alliance Bank berbesar hati bekerjasama dengan rakan kongsi yang berkongsi nilai kami dan bersama-sama, membantu memajukan kemampanan terutamanya dalam kalangan PKS yang merupakan tulang belakang negara kita," katanya. - DagangNews.com