Alliance Bank sasar pertumbuhan pinjaman meningkat sehingga 10% pada FY24 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Alliance Bank sasar pertumbuhan pinjaman meningkat sehingga 10% pada FY24

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 26 Julai - Alliance Bank Malaysia Bhd (ABMB) menyasarkan pertumbuhan pinjaman 8% sehingga 10% dalam tahun kewangan berakhir 31 Mac 2024 (FY24) berbanding 6.2% yang dicatatnya pada FY23.

 

Ketua Eksekutif Kumpulan Alliance Bank, Kellee Kam berkata sebahagian besar pertumbuhan itu akan didorong oleh segmen utamanya iaitu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan perniagaan komersial.

 

Menurut beliau, bank tersebut percaya bahawa segmen tersebut akan terus mencatat pertumbuhan dua angka, di mana PKS pada 12% dan perniagaan komersial pada 13%.

 

"Kami percaya segmen utama akan terus menunjukkan prestasi yang baik dengan memanfaatkan momentum peningkatan tahun lepas," kata Kellee dalam taklimat media secara maya selepas mesyuarat agung tahunan (AGM) hari ini.

 

Memandangkan Alliance Bank telah melalui langkah penyahrisiko pada buku korporatnya, beliau berkata bank tersebut menjangkakan perniagaan pengguna mencatat pertumbuhan pinjaman yang positif dengan jumlah 8% hingga 10% bagi tahun penuh.

 

 

Kellee Kam
Kellee Kam

 

 

Menurut Kellee, kumpulan itu memperuntukkan kira-kira RM116 juta dalam perbelanjaan modal untuk FY24, yang sebahagian besarnya akan diperuntukkan untuk mempercepatkan pendigitalan serta transformasi maklumat dan teknologi.

 

“Bagi memajukan sasaran pertumbuhan, kami terus mencipta inovasi dalam perkhidmatan dan penyelesaiannya agar memenuhi keperluan perniagaan sepanjang kitaran hayat mereka.

 

“Sebagai contoh, Alliance Bank menyasarkan ekosistem yang berdaya tahan, seperti tenaga boleh diperbaharui, membantu PKS mengamalkan perniagaan lebih mampan dalam operasi mereka,” ujar beliau.

 

Mengulas tentang margin faedah bersih (NIM), Kellee berkata ia berada pada 2.64% bagi FY23 dan dijangka dimampatkan sekitar 2.5% sehingga 2.55% pada FY24.

 

“Kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) menyebabkan jumlah persaingan deposit pada tahun ini. Kami menjangkakan bahawa ia akan berterusan selama setahun penuh. Jadi dari aspek itu, kami mengharapkan NIM dimampatkan,” ujar beliau.

 

Sementara itu, beliau berkata nisbah pinjaman terjejas kasar (GIL) dijangka meningkat namun tidak melebihi 3% dalam FY24 berikutan persekitaran kadar faedah yang lebih tinggi terus membebankan peminjam hutang apabila kos pinjaman meningkat.  - DagangNews.com