Aliran menaik harga saham industri telur, ayam dijangka berterusan didorong penurunan kos makanan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Aliran menaik harga saham industri telur, ayam dijangka berterusan didorong penurunan kos makanan

Kenaikan harga saham industri ternakan terutamanya pengeluar telur didorong oleh peningkatan keuntungan mereka yang seterusnya dipengaruhi oleh beberapa faktor./Hambar hiasan Teo Seng

KUALA LUMPUR 18 Mac - Prospek industri penternakan ayam dan telur dijangka kekal positif dengan aliran menaik harga saham syarikat-syarikat berkaitan diunjur berterusan didorong beberapa faktor termasuk keputusan kewangan 2023 yang teguh dan peningkatan pasaran eksport susulan nilai ringgit yang lemah.

 

Beberapa penganalisis turut menggariskan faktor kitaran yang mana ketika ini harga kos makanan ternakan lebih rendah manakala permintaan meningkat didiorong musim perayaan.

 

Selain itu, mereka turut menekankan faktor lain iaitu telur ayam yang terus mendapat subsidi kerajaan manakala harga silingnya pula dikekalkan buat masa ini sebagai antara pendorong kepada prospek saham kaunter berkaitan yang telah mengalami pergerakan menaik di Bursa Malaysia sejak awal tahun.

 

Harga saham Lay Hong Bhd misalnya meningkat 30% sejak pertengahan Februari ditutup pada 39 sen Jumaat lepas manakala Teo Seng Capital Bhd melonjak 44% tahun ini kepada RM2.30 pada 20 Februari sebelum ditutup pada RM1.91 Jumaat lalu.

 

teo

 

Satu lagi pemain industri yang menyaksikan kenaikan harga semasa ialah QL Resources Bhd yang mengakhiri minggu dagangan pada RM5.93 sesaham, membuat keuntungan kira-kira 19 sen dari 14 Februari.

 

Leong Hup International Bhd dan CAB Cakaran Corp Bhd juga telah memperoleh keuntungan tetapi menyaksikan beberapa pengambilan untung.

 

Penganalisis di Rakuten Trade, Vincent Lau berkata, aliran menaik harga saham dijangka berterusan, diterajui oleh penurunan kos makanan ternakan serta eksport ke luar negara.

 

Katanya, penarikan subsidi dan kawalan harga ayam daging akhir tahun lalu juga memainkan peranan dalam kenaikan harga kaunter seperti CAB Cakaran dan CCK Consolidated Holdings Bhd.

 

"Tinjauan adalah baik dan kami melihat syarikat-syarikat ini merekodkan prestasi yang lebih baik," katanya dipetik berkata.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Pelaburan Tradeview Capital, Nixon Wong berkata, kenaikan harga saham industri ternakan terutamanya yang pengeluar telur didorong oleh peningkatan keuntungan mereka yang seterusnya dipengaruhi oleh beberapa faktor.

 

Beliau berkata, kos makanan yang menggalakkan juga telah mengembangkan margin ditambah dengan jualan eksport ke Singapura yang memberi kesan positif kepada prestasi perniagaan terutamanya memandangkan nilai ringgit yang lebih lemah.

 

Mengenai prospek industri, Nixon berkata, sektor penternakan ayam bersifat kitaran dan prestasinya bergantung pada harga kos makanan serta keadaan permintaan dan bekalan.

 

Beliau meramalkan semua mata akan tertumpu bila masanya kerajaan akan menaikkan harga siling telur.

 

“Apabila harga siling ini dinaikkan, pemain akan diberi insentif untuk meningkatkan pengeluaran sebagai tindak balas kepada permintaan telur yang tinggi, akhirnya membawa kepada peningkatan dalam jumlah jualan.

 

“Bagaimanapun, hasil keseluruhan bergantung pada permintaan dan keadaan bekalan telur semasa yang akan menentukan prestasi perniagaan dan harga saham syarikat,” katanya.- DagangNews.com