Aliran kontrak FPSO dijangka manfaatkan pemain O&G tempatan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Aliran kontrak FPSO dijangka manfaatkan pemain O&G tempatan

Yinson Holdings Bhd. baru-baru ini menjadi pembida tunggal yang layak untuk projek Agogo.
Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 14 Sept - Harga minyak mentah dijangka kekal tinggi tahun ini di sebalik berdepan tekanan penurunan akibat kelembapan pertumbuhan ekonomi global ekoran kenaikan agresif kadar faedah di negara ekonomi utama. 

 

Ini mendorong AmInvestment Bank Research mengekalkan unjuran harga minyak mentah Brent sekitar AS$90 hingg AS$100 setong bagi 2022 manakala AS$80 hingga AS$90 setong pada tahun hadapan.

 

Penganalisisnya, Lucas Tan berkata, persekitaran harga minyak lebih tinggi itu mengambil kira kekurangan bekalan yang berpanjangan disebabkan kesan geopolitik tidak menentu berikutan pencerobohan Ukraine oleh tentera Rusia yang telah mencetuskan sekatan.

 

"Selain itu, ia juga disebabkan kurangnya pelaburan oleh syarikat minyak antarabangsa sejak lima tahun lalu di tengah-tengah peralihan tenaga secara berterusan dan gangguan rantaian bekalan global yang substantif dan premium risiko tinggi untuk komoditi," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Secara keseluruhan, firma itu mengekalkan pandangan 'overweight' terhadap sektor minyak dan gas (O&G) dengan risiko penurunan bergantung kepada permintaan minyak yang merosot di tengah-tengah kelembapan ekonomi ekoran kenaikan kadar faedah oleh bank pusat utama. 

 

Ia turut dipengaruhi aliran kontrak yang lebih perlahan di peringkat domestik dan pengeluaran minyak yang dijangka meningkat dengan adanya pelaburan baharu dalam sektor O&G serta penilaian semula penarafan ekoran kebimbangan terhadap alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

 

gambar hiasan

 

 

Menurut Tan, operator O&G yang mempunyai pendedahan langsung kepada pengeluaran huluan seperti Hibiscus Petroleum Bhd. telah mendapat menfaat daripada harga minyak mentah yang lebih tinggi. 

 

Pada masa sama, katanya, subsektor pengeluaran, penyimpanan dan pemunggahan terapung (FPSO) juga mendapat manfaat memandangkan jumlah operator yang semakin berkurangan semasa kemelesetan pada 2015 hingga 2017.

 

"Dalam tempoh terdekat, kami melihat beberapa projek FPSO akan dianugerahkan tidak lama lagi termasuk projek Agogo air dalam Eni di Angola dan projek Total Energies Cameia di Angola serta projek Suriname di Maka," jelasnya.

 

Tambahnya, Yinson Holdings Bhd. baru-baru ini menjadi pembida tunggal yang layak untuk projek Agogo dan dijangka menerima kontrak itu menjelang akhir 2022.

 

"Kami juga dapati Bumi Armada Bhd. dan MISC Bhd. adalah antara pesaing aktif untuk projek Cameia yang akan datang di Angola yang mungkin hanya melibatkan pakej kejuruteraan, perolehan, pembinaan, pemasangan dan pentauliahan," katanya.

 

Sebaliknya, beliau berkata, prospek bagi subsektor lain seperti pelantar penggerudian dan kapal sokongan luar pesisir (OSV) agak suram walaupun terdapat prospek industri yang lebih baik.

 

Pada suku kedua 2022, kadar sewaan harian untuk pelantar jack-up Velesto Energy Bhd. meningkat 10% kepada AS$75,000 sehari berbanding AS$68,000 sehari pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021 (FY21).

 

Namun, kadar penggunaan pelantar menurun kepada 41% daripada 48% pada 2021 (lebih rendah dengan ketara berbanding kadar penggunaan pelantar jack-up di Asia Tenggara melebihi 80%) disebabkan aktiviti penggerudian yang lebih rendah di Malaysia. 

 

Sementara itu, Icon Offshore Bhd. bersama pemain kapal sokongan luar pesisir yang lain juga terus melihat peningkatan kecil kadar sewaan harian kapal.

 

Tan bagaimanapun berkata, Petronas sebelum ini menyatakan pihaknya sedang berusaha untuk menyemak semula kadar bagi kontrak sedia ada dengan penyedia perkhidmatan minyak dan gas domestik bagi mengurangkan tekanan kos kontraktor yang semakin meningkat dilihat satu perkembangan positif kepada industri.

 

"Ini secara tidak langsung mencerminkan potensi peningkatan pendapatan dengan kadar sewaan harian yang dijangka lebih tinggi untuk syarikat seperti Velesto dan Icon Offshore," katanya. -DagangNews.com