KUALA LUMPUR 14 Sept - Alibaba.com, sebuah platform terkemuka bagi e-dagang perniagaan kepada perniagaan (B2B) global, memperbaharui komitmennya di Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) ke-19 dalam usaha membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS), terutamanya mereka yang berada dalam perniagaan produk halal.
Selain itu, ia juga dapat mempertingkatkan penglibatan dalam pasaran halal antarabangsa dan memanfaatkan sektor e-dagang halal B2B yang pesat berkembang.
Ketua Pemasaran dan Pembangunan Perniagaan Malaysia, Indonesia, dan Singapura Alibaba.com, Nianci Phang berkata, berdasarkan aliran menarik yang dapat diperhatikan dalam pertanyaan global terhadap produk halal Malaysia sejak pelancaran Halal Pavilion, adalah jelas bahawa Malaysia merupakan sebuah pasaran yang penting dan peserta global yang mantap dalam sektor ini.
"Dengan sokongan yang sangat menggalakkan oleh syarikat-syarikat yang diperakukan halal tempatan menyertai platform kami, kami berasa yakin bahawa Alibaba.com akan memainkan peranan yang penting dalam memenuhi permintaan global selain menggalakkan penyertaan PKS Malaysia dalam perdagangan global,” katanya dalam kenyataan media di sini.
Pada acara tersebut, Alibaba.com juga melancarkan Laporan Industri Halal Alibaba.com yang pertama bersama Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade).
Laporan yang lengkap ini menawarkan analisis pola dan trajektori penggunaan produk halal global dalam e-dagang B2B, yang bertujuan memudahkan keputusan perniagaan yang lebih berasaskan maklumat untuk para pembekal.
Dalam laporan tersebut, Malaysia telah dikenal pasti sebagai pasaran pembekal yang unggul bagi produk halal disebabkan oleh beberapa faktor yang dimiliki Malaysia termasuk proses pensijilan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang diiktiraf pada peringkat antarabangsa, warisan Islam dan kefahaman budayanya yang kaya, selain komitmen terhadap penyelidikan, inovasi dan teknologi termaju.

Faktor-faktor ini mempertingkatkan kualiti dan reputasi produk halal Malaysia, menjadikannya sering dicari oleh para pengguna di seluruh dunia.
Meskipun asas yang utuh ini, laporan tersebut menggalakkan para pembekal produk halal Malaysia untuk menerima transformasi digital sebagai kaedah yang boleh dipercayai untuk menghadapi kejutan bekalan dan permintaan sambil memastikan kepastian perniagaan.

Setahun selepas pelancarannya yang disokong oleh Matrade, Halal Pavilion dalam talian Alibaba.com telah menyaksikan penyertaan yang ketara daripada begitu banyak PKS tempatan dalam sektor makanan & minuman, pertanian, kesihatan dan kecantikan.
Pameran dalam talian tersebut telah menarik jumlah pertanyaan pembeli yang besar bagi produk halal yang diperbuat di Malaysia, dari pasaran seperti Kesatuan Eropah, Timur Tengah dan Asia Tenggara. - DagangNews.com








