Akaun Twitter Obama, Bill Gates digodam sindiket penipuan mata wang kripto | DagangNews Skip to main content

Akaun Twitter Obama, Bill Gates digodam sindiket penipuan mata wang kripto

NEW YORK 16 Julai – Berpuluh-puluh akaun Twitter berprofil tinggi digodam semalam oleh kumpulan penipuan mata wang kripto, membabitkan akaun bilionair Bill Gates, Jeff Bezos, Elon Musk, Mike Bloomberg, dan Warren Buffett.

Malah akaun bekas Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama dan Naib Presiden Joe Biden turut digodam.

Akaun-akaun yang digodam itu mengandungi mesej `menyeru’ para pengikut mereka untuk mengirim AS$1,000 (RM4,265) dalam bentuk Bitcoin ke alamat khusus, menjanjikan pulangan dua kali ganda.

Mesej itu kelihatan mengguna pakai taktik biasa penipuan supaya orang ramai terpengaruh dengan janji pulangan besar daripada `pelaburan’ mereka.

Beberapa ciapan penipuan itu dipadamkan oleh pemilik sebenar akaun Twitter tetapi kemudian ia muncul semula beberapa minit kemudian.

Jurucakap Twitter memberitahu Business Insider bahawa platform media sosial itu kini sedang `meneliti’ kejadian penggodaman tersebut. Twitter kemudiannya menerbitkan ciapan bahawa ia sedang ‘menyiasat dan mengambil langkah untuk menanganinya’.
 

Tw


Berikutan banyaknya kes penggodaman itu, Twitter mengambil tindakan menggantung akaun-akaun terjejas dan menyatakan, sementara ia menyiasat insiden itu, akaun terjejas akan dihadkan keupayaan ciap, meminta pemilik menukar kata laluan dan beberapa fungsi akaun lain.

Mesej penipuan itu mula muncul sejurus selepas pautan-pautan diciap dari akaun Twitter beberapa syarikat mata wang kripto berprofil tinggi seperti KUCOIN, Binance, dan Gemini, kata blog Malware Tech.

Laman web yang digunakan pada pautan, bertajuk CryptoForHealth, telah disekat sejurus ciapan itu disebarkan.

Ketua Pegawai Eksekutif Binance, Changpeng Zhao cuba memberi amaran kepada pengikutnya bahawa ciapan itu adalah palsu sejurus ia muncul tetapi akaun beliau kelihatan sudah digodam kerana amarannya terus dilenyapkan.

Akaun Twitter bagi CoinDesk dan Gemini juga digodam walaupun meletakkan beberapa lapis kaedah pengesahan, bermakna penggodam berjaya melepasi semua `pintu masuk’.

Selepas menyerang syarikat berkaitan mata wang kryto, penggodam beralih pula kepada akaun bilionair dan orang ternama, artis dan sebagainya termasuk Kim Kardashian.

Resit transaksi Bitcoin menunjukkan alamat yang tertera pada ciapan penipuan itu telah menerima lebih daripada 11 Bitcoin atau kira-kira AS$101,300 (RM432,095) setakat semalam, walaupun pemerhati keselamatan tidak menolak kemungkinan transaksi itu sengaja diadakan supaya akaun itu kelihatan `sah’ untuk memperdaya orang ramai. – DagangNews.com