Akaun 3 KWSP mula bantu tingkatkan perbelanjaan pengguna, segmen runcit raih manfaat - Maybank IB | DagangNews Skip to main content

Akaun 3 KWSP mula bantu tingkatkan perbelanjaan pengguna, segmen runcit raih manfaat - Maybank IB

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 6 Ogos - Tedapat tanda-tanda awal peningkatan perbelanjaan pengguna susulan kemasukan tambahan pendapatan boleh guna daripada Akaun 3 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang juga dikenali sebagai Akaun Fleksibel.

 

Mengambil contoh Aeon Co (M) Berhad, Maybank Investment Bank berkata, pada awalnya jualan segmen runcit Aeon pada suku kedua 2024 (2Q24) dijangka lebih perlahan suku tahun ke suku tahun (QoQ) berikutan ketiadaan perayaan untuk mendorong jualan.

 

"Namun, kami difahamkan momentum jualan telah meningkat merentas semua kategori (makanan, pakaian & barangan hardline seperti peralatan sukan dan kelengkapan rumah) bulan ke bulan sejak pengeluaran Akaun 3 KWSP bermula pada 12 Mei," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

 

Setakat 19 Julai 2024, seramai 3.4 juta ahli KWSP atau 26.2% daripada 13.1 juta ahli KWSP di bawah 55 tahun telah membuat pengeluaran daripada Akaun Fleksibel yang melibatkan jumlah sebanyak RM8.9 bilion.

 

Menteri Kewangan Kedua, Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan pada sidang Dewan Negara 25 Julai 2024 memaklumkan yang 3.8 juta atau 29.3% daripada 13.1 juta ahli KWSP di bawah 55 tahun memilih mempunyai amaun permulaan di dalam Akaun Fleksibel dengan jumlah perpindahan RM12.6 bilion

 

ARTIKEL BERKAITAN: 3.8 juta ahli KWSP pindahkan RM12.6 bilion ke Akaun Fleksibel - Amir Hamzah

 

aeon
Gambar Aeon

 

Sementara itu, Maybank IB berkata, untuk menyokong perkembangan ini, Aeon terus melaksanakan pelbagai kempen promosi bagi memanfaatkan ulang tahun ke-40 dan menarik lebih ramai pengunjung ke kedainya pada suku tahun ini yang biasanya kurang aktif.

 

"Tiada perubahan kepada jangkaan pendapatan Aeon bagi dengan unjuran pertumbuhan 4.8% bagi tahun kewangan 2024 (FY24).

 

"Kekal saranan 'Beli' dengan harga sasaran (TP) RM1.74 sesaham," jelasnya.

 

Sementara itu, firma penyelidikan itu berkata, kadar sewaan pusat beli-belah Aeon yang disasarkan oleh kumpulan pada FY24 kekal pada 94% dengan kadar pembaharuan sewa yang dijangka sebanyak 90% dan kadar perubahan sewa antara 9%-10%. 

 

"Pengubah suaian kedai dan pusat beli-belah Aeon juga berjalan seperti yang dirancang, dengan siapnya pengubahsuaian Aeon IOI Puchong menjelang akhir Ogos 2024 manakala pengubahsuaian Aeon Bukit Indah dan Tebrau City akan selesai menjelang 4Q24. 

 

"Perlu diingat bahawa Aeon biasanya menikmati peningkatan jualan sekitar 15%-20% YoY dari pusat beli-belah yang baru diperbaharui," ujarnya.- DagangNews.com