KUALA LUMPUR 8 Ogos - Ajinomoto (Malaysia) Berhad (AMB) telah memperkenalkan dua produk terbaharu iaitu AJIRISE UM dan AJIRISE K, sebagai rumusan inovatif industri makanan yang menggunakan ekstrak yis agar memberikan kelazatan dengan meningkatkan rasa dan aroma asal.
Dalam satu kenyataan media hari ini, Ajinomoto berkata AJIRISE UM dikenali dengan rasa umami dan kokumi yang kaya dan sesuai digunakan bersama rempah serta krim, sementara itu, AJIRISE K pula memberikan sensasi kokumi yang mantap.
Menurut kumpulan itu, kedua-dua produk berkenaan juga berkesan untuk menyembunyikan rasa kekacang yang tidak diingini, rendah kandungan sodium, tidak mengandungi bahan berasaskan haiwan dan mematuhi keperluan makanan berlabel bersih.
“Produk industri baharu ini mempunyai potensi besar bukan sahaja di Malaysia malah di negara-negara Asia dan Timur Tengah.
“Ia dapat memenuhi kehendak industri makanan terutamanya melibatkan keselamatan makanan, peningkatan kualiti, kesihatan dan pengurangan kos.
“Keunikan produk ini terletak pada pemilihan bahan mentah yang dipilih secara teliti dan teknologi pencampuran yang inovatif,” tambahnya.
Ajinomoto berkata kedua-dua produk baharu ini digunakan secara meluas dalam pelbagai produk terutamanya produk berasaskan tumbuhan.
Ia turut menjadi alternatif daging haiwan dengan menyediakan solusi inovatif dalam meningkatkan tekstur dan kelazatan ‘daging berasaskan tumbuhan’ selain berperanan mempromosi kelestarian global.
Tambahnya, produk baharu tersebut sejajar dengan inisiatif Penciptaan Nilai Bersama oleh Kumpulan Ajinomoto (ASV) untuk menyumbang nilai kepada industri makanan dengan mengadaptasi keperluan perubahan sosial dan alam sekitar.
Bagi tujuan kemudahan, kedua-dua produk ini didatangkan dalam pek 1kg bagi memenuhi kehendak pengeluaran makanan.
Dengan pengenalan AJIRISE UM dan AJIRISE K, Ajinomoto berkata ia mengukuhkan kedudukannnya sebagai peneraju dalam menyediakan rumusan makanan yang mampan dan melazatkan. - DagangNews.com








