Oleh NABILA YASMIN RAZIB
[email protected]
KUALA LUMPUR 9 Nov - Airbus dan Spirit AeroSystems merasmikan pengeluaran kepak sayap dalam bagi pesawat julat jarak lebih jauh Airbus, A321XLR baharu.
Ketua Perwakilan Airbus Malaysia, Raymond Lim berkata, sehingga akhir Oktober 2021, Airbus telah mencatatkan sejumlah 435 pesanan bagi pesawat A321XLR merangkumi 22 pelanggan di seluruh dunia.
Katanya, pesawat A321XLR kini sedang dibangunkan dan akan mula beroperasi menjelang 2023.
"Ia akan menjadi pesawat lorong tunggal dengan jarak penerbangan paling jauh pernah dibina dan mampu untuk terbang sehingga 4,700nm / 8,700km tanpa henti atau sehingga sekitar sepuluh jam penerbangan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Majlis meraikan penghasilan kepak sayap dalam pesawat A321XLR telah diadakan di kilang pembuatan Spirit AeroSystems di Subang.
Ia turut dihadiri oleh Pengarah Eksekutif, Pembangunan Pembuatan (Bukan Sumber), MIDA,Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid dan Naib Presiden Kanan Airbus & Program Jet Perniagaan di Spirit AeroSystems, Scott McLarty.
Spirit AeroSystems merupakan pembekal tunggal yang menghasilkan kelepak dalam bagi pesawat A321XLR, yang merupakan versi terbaru pesawat lorong tunggal jarak jauh yang paling laris. Kelepak dalam ini terletak di sepanjang tepi belakang kepak pesawat dan membantu memberikan daya angkat yang lebih besar semasa pesawat berlepas dan mendarat.
Dengan seramai 14 rakan niaga dan pembekal tempatan di Malaysia, negara ini mewakili Airbus sebagai pangkalan pembekal terbesar di Asia Tenggara.
Malaysia juga merupakan pembekal bahagian komposit Airbus yang kelima terbesar di seluruh dunia.
Lim berkata, kini alat ganti “Buatan Malaysia” menerbangkan hampir kesemua produk pesawat awam Airbus A320, A330, A350, A380), serta pesawat pengangkutan tentera A400M dan helikopter H130.
“Kami komited sepenuhya untuk terus berada di negara ini dan majlis hari ini menyaksikan satu lagi peristiwa penting yang menandakan perjalanan kita secara bersama," katanya. -DagangNews.Com








