KUALA LUMPUR 2 Nov - Airbnb mengumumkan kerjasama dengan Urbanice Malaysia sebagai rakan kongsi e-penginapan rasmi bagi Malaysia Urban Forum (MUF) 2023 di Kuching, Sarawak.
Kerjasama itu bertujuan memacu penawaran penginapan pelancongan yang fleksibel di rantau ini, dalam persediaan Kuching untuk menjadi tuan rumah bagi MUF 2023 dan acara-acara berskala besar yang lain pada masa depan.
Ketua Dasar Awam Airbnb Asia Tenggara, India, Hong Kong dan Taiwan, Mich Goh berkata, kerjasama itu menawarkan satu peluang unik dan baik untuk hos baharu mahupun yang sedia ada di Sarawak, untuk mengambil bahagian dalam acara tersebut dan memainkan peranan dalam menawarkan hospitaliti terbaik kepada para tetamu.
Katanya, tetamu boleh meneroka pelbagai pilihan penginapan yang sesuai dengan keperluan dan bajet mereka, serta peluang untuk merasai pengalaman Sarawak yang asli seperti penghuni tempatan.
"Hos pula dapat berkongsi ruang dan komuniti mereka di samping menjana sumber pendapatan tambahan.
"Perkongsian rumah membantu bandar memanfaatkan rumah-rumah sedia ada untuk mengembangkan kapasiti, sambil memperkasakan penduduk tempatan untuk menawarkan pilihan penginapan mampu milik yang akan memberi manfaat kepada ekonomi tempatan," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.
MUF 2023 merupakan forum tahunan yang dianjurkan oleh Urbanice Malaysia, iaitu Pusat Kecemerlangan Bandar Mampan dan Kesejahteraan Komuniti di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Forum itu menampilkan siri perbincangan dan bengkel tentang tindakan transformatif untuk kemampanan dan pembandaran yang berdaya tahan. Forum tahun ini akan berlangsung dari 4 hingga 8 November ini, dan dijangka menarik kira-kira 3,000 pengunjung.
Ketua Pegawai Eksekutif MUF, Norliza Hashi pula berkata, pihaknya teruja bekerjasama dengan Airbnb dalam menawarkan penginapan fleksibel untuk forum terbesar di dalam negara yang bertemakan pembandaran mampan.
Katanya, penganjuran satu acara kebangsaan yang berskala besar datang dengan cabarannya.
"Namun, penyediaan penginapan yang berkualiti dan mencukupi untuk wakil-wakil kami akan menyumbang kepada kejayaannya.
"Dengan membantu bandar-bandar untuk memanfaatkan penawaran perumahan yang sedia ada, perkongsian rumah merupakan cara mampan untuk memenuhi permintaan penginapan tambahan semasa mesyuarat, insentif, persidangan dan pameran," katanya. - DagangNews.com








