AirAsia X raih kontrak RM29.7 juta kendali penerbangan khas Malbatt 850 bagi misi pengaman di Lubnan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

AirAsia X raih kontrak RM29.7 juta kendali penerbangan khas Malbatt 850 bagi misi pengaman di Lubnan

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 2 Nov - AirAsia X Bhd (AAX) telah memperoleh kontrak bernilai RM29.7 juta untuk mengendali penerbangan khas untuk pasukan Batalion Malaysia (Malbatt) 850 pergi ke Beirut, Lubnan dan kembali, sebagai sebahagian daripada misi pengaman Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (Unifil).

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, syarikat penerbangan tambang murah itu berkata perjanjian penumpang dan perkhidmatan sampingan telah dimeterai dengan AirAsia Bhd.

 

Ini melibatkan penerbangan khas antara Pangkalan TUDM (Tentera Udara Diraja Malaysia) di Lapangan Terbang Subang dan Lapangan Terbang Antarabangsa Beirut-Rafic Hariri untuk empat penerbangan setahun.

 

Operasi tersebut termasuk pengangkutan delegasi Angkatan Tentera Malaysia, bagasi dan tentera, bersama makanan mereka, di samping menyediakan katering di darat dan kemudahan untuk tentera di Lapangan Terbang Subang semasa berlepas.

 

Sementara itu, AirAsia, anak syarikat penuh Capital A Bhd, dalam makluman berasingan menyatakan bahawa kontrak kepada AAX melalui proses tender yang dianjurkan oleh Kementerian Pertahanan, yang terbuka kepada semua syarikat penerbangan Malaysia dengan prasyarat bahawa pembawa mesti mempunyai akaun berdaftar sah dengan Kementerian Kewangan, yang tidak dimiliki AAX.

 

Oleh itu, Capital A berkata tender itu dikemukakan oleh AirAsia berdasarkan harga AAX.

 

“Jumlah urus niaga antara syarikat dan pihak berkaitan dan/atau orang yang berkaitan dengan mereka untuk 12 bulan sebelumnya ialah RM360,546.79,” katanya.

 

Perjanjian, seperti dipersetujui oleh kedua-dua pihak, adalah untuk tempoh tiga tahun yang akan bermula dari 1 Oktober 2023 hingga 30 September 2026.

 

Pada pukul 3:46 petang ini, saham AAX telah meningkat 4 sen atau 2.1% kepada RM1.96, memberikannya permodalan pasaran bernilai RM876.3 juta.

 

Sementara itu, saham Capital A menokok 0.5 sen atau 0.6% kepada 83 sen dengan permodalan pasaran sebanyak RM3.5 bilion.  - DagangNews.com