AirAsia X perluas rangkaian ke India menerusi pelancaran semula penerbangan ke Amritsar mulai 3 September 2023 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

AirAsia X perluas rangkaian ke India menerusi pelancaran semula penerbangan ke Amritsar mulai 3 September 2023

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 16 Jun - AirAsia X (AAX) terus mengembangkan rangkaian jarak sederhananya dengan pelancaran semula perkhidmatan terus dari Kuala Lumpur ke Amritsar di India Utara, mulai 3 September 2023.

 

Perkhidmatan empat kali seminggu ini akan menawarkan para tetamu akses ke Amritsar, destinasi yang mempunyai potensi besar dari segi keagamaan, tarikan pelancongan, peluang komersial dan prospek perdagangan.

 

Sebagai destinasi keduanya ke India selepas New Delhi, laluan ini akan menyediakan kapasiti tahunan sebanyak 157,263 tempat duduk antara Kuala Lumpur dan Amritsar untuk AAX.

 

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X, Benyamin Ismail berkata, pihaknya berbesar hati untuk memulakan semula perkhidmatan terus ke Amritsar, sebuah destinasi yang terkenal di persada antarabangsa dengan tarikan Kuil Emas. 

 

Katanya, laluan ini bukan sahaja memberi peluang kepada para tetamu di rantau ini untuk melawat bandar suci itu dengan tambang berpatutan, malah menawarkan penduduk di Amritsar peluang untuk melawat destinasi percutian menakjubkan dengan tambang bernilai terbaik termasuk ke Perth, Melbourne, Bali, Bangkok dan banyak lagi dengan perkhidmatan Fly-Thru.

 

"Pelancaran semula laluan ini juga merupakan sebahagian daripada usaha kami untuk memperkukuh kedudukan AAX di Asia Selatan, dan melengkapkan rangkaian besar kami di Asia Utara. 

 

"Kami optimis bahawa pelancaran semula laluan ini bukan sahaja akan meningkatkan tawaran destinasi jarak sederhana kami dengan tambang berpatutan, tetapi juga menyumbang kepada pertumbuhan perniagaan secara keseluruhan" katanya dalam kenyataan hari ini.

 

 

airasia

 

 

Sempena meraikan pelancaran semula laluan ini, AAX menawarkan tambang termasuk semua daripada RM299 sehala untuk tempat duduk ekonomi dan RM999 sehala untuk tempat duduk Premium Flatbed. 

 

Selain itu, tetamu yang menempah perjalanan ke/dari Amritsar juga akan menikmati diskaun 50% untuk bagasi daftar masuk apabila mereka membuat tempahan bermula hari ini sehingga 2 Julai 2023, untuk tempoh perjalanan antara 3 September 2023 dan 30 Mac 2024.

 

Amritsar adalah salah satu destinasi popular di Punjab di bahagian barat laut India, yang masih mempunyai sambungan terhad dari rantau Asia Pasifik. 

 

Bandar ini juga mempunyai tarikan kuil Sikh suci, Harmandir Sahib (Kuil Emas), dan mempunyai banyak monumen bersejarah termasuk Jallianwala Bagh, Sempadan Wagah dan Kubu Gobindgarh. - DagangNews.com