KUALA LUMPUR 16 Mac - AirAsia X Bhd. hari ini telah menyerahkan perintah sekatan untuk penstrukturan semula hutangnya kepada Pendaftar Syarikat dengan formaliti penstrukturan semula kini telah selesai.
Cadangan penstrukturan semula hutang itu diluluskan oleh pemiutangnya pada 12 November 2021 dan oleh Mahkamah Tinggi Malaya pada 16 Disember 2021.
Penyerahan perintah sekatan itu bermakna kesan kewangan boleh diiktiraf dalam penyata kewangan syarikat dan sebagai hasilnya, AirAsia X dapat membalikkan RM33 bilion liabiliti dan peruntukan untuk liabiliti yang telah diketepikan di bawah skim tersebut.
Kesan penuh penyata pendapatan dan imbangan tunai syarikat akan diiktiraf dalam pengumuman Bursa Malaysia pada suku berikutnya.
Dengan penyerahan perintah sekatan itu, ia kini akan membuka jalan kepada penyempurnaan cadangan pengumpulan dana.

Dalam kenyataan, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X, Benyamin Ismail menyifatkan ia satu langkah penting untuk membina semula syarikat selepas pandemik COVID-19.
"Kami kembali terbang dalam kedudukan yang kukuh yang mana kami sekali lagi boleh menawarkan tambang nilai terbaik dan kecemerlangan perkhidmatan pelanggan yang layak diterima oleh pelanggan kami.
"Kargo telah menjadi talian hayat yang kukuh untuk AirAsia X dan pemulihan sedang berjalan sebagai syarikat penerbangan gabungan dengan penekanan yang sama pada pendapatan kargo dan penumpang," katanya.
Beliau juga berharap dapat menawarkan lebih nilai bagi perkhidmatan wang merentasi semua rangkaian teras sejajar dengan permintaan kargo dan pengguna.
Katanya, dalam tempoh 2 bulan akan datang, syarikat akan memulakan kembali perkhidmatan penumpang ke beberapa lagi destinasi antarabangsa.
"Ini adalah sejajar dengan pembukaan semula sempadan antarabangsa, dan kami turut menyediakan tawaran menarik untuk tetamu dan khususnya kepada pelanggan kami yang mempunyai kredit perjalanan dengan kami," jelas beliau. - DagangNews.com








