KUALA LUMPUR 16 Okt - AirAsia menawarkan tambang sehala termasuk semua serendah RM25 bagi penerbangan domestik dan RM80 bagi laluan terkemuka ASEAN.
Penerbangan tersebut sedia ditempah mulai hari ini hingga 25 Oktober 2023 bagi tempoh perjalanan antara 4 Mac 2024 dan 12 Februari 2025.
Syarikat tambang rendah itu berkata, destinasi domestik tersebut, termasuk Pulau Pinang, Langkawi, Alor Setar, Johor Bahru dan Kuala Terengganu, selain ASEAN seperti Bali, Krabi, Phnom Penh, Phu Quoc dan Bangkok.
"Kami mengukuhkan komitmen untuk terus merangsang industri pelancongan Malaysia pada tahun 2024 melalui inisiatif tempat duduk percuma yang bertujuan menjadikan perjalanan udara mudah diakses semua," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.
Bagi mereka yang ingin mengembara lebih jauh, AirAsia X menawarkan penerbangan ke Gold Coast, Busan, Taipei, Beijing dan banyak lagi daripada RM269 sehala untuk tempat duduk ekonomi.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Aviation Limited, Bo Lingam berkata, pada awal tahun ini, pihaknya melancarkan kempen tempat duduk percuma dengan lima juta kerusi.
"Sejak itu, kami telah menerbangkan lebih 37 juta pengembara merentasi rantau ini dari Mac hingga minggu pertama Oktober.

"Hari ini, kami berbangga untuk menggandakan tawaran dan berharap untuk meningkatkan industri pelancongan Malaysia pada tahun 2024 sama seperti yang telah kami lakukan tahun ini.
"Kami kembali kepada kedudukan yang sebelumnya, dan memandangkan kami menyasarkan untuk mengembalikan kesemua 204 buah pesawat kami menjelang akhir tahun ini, kami akan terus mengembangkan rangkaian kami dengan kukuh dengan laluan baharu dan memulihkan laluan merentasi ASEAN dan seterusnya," katanya.

AirAsia turut menawarkan diskaun 30% untuk insurans kelewatan penerbangan yang menawarkan pampasan secara sekali sahaja sebanyak RM200 jika penerbangan tertunda sekurang-kurangnya dua jam dari tarikh berlepas yang dijadualkan atau mana-mana waktu berlepas baru.
Selain itu, penumpang boleh menikmati potongan 30% pilihan tempat duduk untuk penerbangan AirAsia X (D7), serta diskaun 10% untuk makanan dalam penerbangan yang ditempah awal untuk semua penerbangan ditempah semasa tempoh promosi.
Syarikat juga menawarkan diskaun sehingga 50% diskaun untuk kombo penerbangan dan daripada mana-mana hotel di seluruh dunia, selain potongan RM3 x 2 perjalanan dengan kod promo MOVEMY apabila menempah perjalanan airasia di airasia Superapp, yang akan dinamakan semula kepada airasia MOVE tidak lama lagi. - DagangNews.com








