KUALA LUMPUR 15 Mei - Sempena meraikan pelancaran tiga laluan baharu dari Kuala Lumpur ke wilayah selatan China, AirAsia menawarkan diskaun 20% untuk semua tempat duduk pada semua penerbangan merentasi 130 destinasinya termasuk semua penerbangan ke/dari China.
AirAsia dalam kenyataan hari ini berkata, tawaran tersebut juga tersedia untuk penerbangan ke/dari Malaysia, China, Australia, Indochina, India, Korea Selatan, Jepun dan banyak lagi.
Katanya, promosi tersebut tersedia untuk tempahan bermula hari ini sehingga 21 Mei 2023 untuk tempoh perjalanan antara 1 Jun dan 14 Disember 2023.
"Penambahan laluan baharu itu mengukuhkan lagi kedudukan sebagai syarikat penerbangan asing terbesar yang menyediakan perkhidmatan di negara yang mempunyai penduduk paling ramai di dunia.
"Perkhidmatan baharu ke Quanzhou dan Guilin yang dikendalikan oleh AirAsia Malaysia (AK) dan ke Chengdu (Tianfu) yang dikendalikan oleh AirAsia X Malaysia (D7) kini termasuk dalam rangkaian luas sebanyak 15 laluan dengan lebih 129 penerbangan mingguan antara China dan Malaysia," katanya.
Menurut AirAsia, penerbangan ke/dari Quanzhou akan bermula semula dua kali seminggu dan mula beroperasi pada 18 Jun 2023.
Manakala, penerbangan ke/dari Guilin akan bermula semula tiga kali seminggu pada 18 Julai 2023 dan penerbangan ke/dari Chengdu (Tianfu) bermula dua sekali seminggu pada 1 Julai 2023 dan meningkat kepada tiga kali seminggu mulai 4 Julai 2023.



Baru-baru ini, AirAsia Malaysia turut menyambung semula perkhidmatan harian dari Kota Kinabalu ke Wuhan, mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai syarikat penerbangan Malaysia dengan sambungan dan kapasiti terbesar di China.
Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Riad Asmat berkata, berikutan pembukaan sempadan negara China baru-baru ini kepada dunia dan permintaan yang kukuh, pihaknya berbesar hati untuk meneruskan pengembangan pesat ke China.
Katanya, pihaknya juga berbangga untuk menghubungkan berjuta-juta tetamu bukan sahaja ke destinasi utama tetapi juga ke bandar-bandar kedua yang kurang mendapat perkhidmatan dan melancarkan laluan unik seperti Quanzhou serta Guilin.


"China kekal sebagai pasaran utama untuk pertumbuhan masa depan dan kami akan terus mengkaji beberapa laluan berpotensi lain di China yang akan diumumkan tidak lama lagi," katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X Malaysia, Benjamin Ismail pula berkata, China sentiasa menjadi salah satu destinasi teras untuk perjalanan udara jarak sederhana.
Menurutnya, laluan terbaharu ke Chengdu (Tianfu) akan menjadi asas kepada lebih banyak penerbangan AirAsia X ke China dalam masa terdekat, yang akan meningkatkan rangkaian Asia Utara dengan ketara.
"Dalam pada sempadan China dibuka dengan pantas, kami akan melancarkan lebih banyak penerbangan ke/dari negara itu serta meningkatkan kekerapan pada laluan paling popular dan menguntungkan dalam rangkaian kami bagi jangka masa pendek hingga sederhana," katanya. - DagangNews.com








