KUALA LUMPUR 5 Sept - AirAsia melancarkan penerbangan secara terus dari Kuala Lumpur ke Labuan Bajo, Indonesia bagi mewujudkan peluang baharu untuk sektor pelancongan dan perdagangan antara kedua-dua negara.
Pelancaran itu menjadikan Air Asia syarikat penerbangan antarabangsa pertama yang menawarkan penerbangan secara terus dari Kuala Lumpur ke Labuan Bajo, Indonesia.
Kod penerbangan AK yang dikendalikan oleh AirAsia Malaysia merupakan penerbangan pertama dari Kuala Lumpur yang telah mendarat di Labuan Bajo pada Rabu.
Menurut syarikat penerbangan itu, ia menandakan permulaan tiga penerbangan mingguan antara dua destinasi itu.
AirAsia berkata, pengembangan itu memperkukuh rangkaiannya antara Malaysia dan Indonesia dengan jumlah keseluruhan sebanyak 28 laluan terus.
"Penambahan laluan ini selari dengan komitmen AirAsia untuk memperluaskan kesalinghubungan serantau dengan memenuhi permintaan penumpang.
"Dengan lebih daripada empat ribu tempat duduk tersedia setiap minggu, laluan ini dijangka akan meningkatkan jumlah pelawat dan memberikan impak ekonomi yang besar kepada komuniti tempatan di Malaysia dan Indonesia," ujarnya.

Pengarah Urusan AirAsia Malaysia, Datuk Kapten Fareh Mazputra berkata, penambahan laluan terus itu merupakan satu langkah penting dalam menyokong sasaran pelancongan kedua-dua negara.
"Labuan Bajo adalah salah satu daripada Lima Destinasi Pelancongan Utama Indonesia, di mana kerajaan memberikan fokus utama untuk menarik lebih ramai pelancong dengan harapan melebihi 500,000 pengunjung pada tahun 2024.
"Indonesia kekal sebagai salah satu pasaran terpenting kami dan akan terus bekerjasama rapat dengan AirAsia Indonesia untuk meningkatkan sektor pelancongan dan perdagangan antara kedua-dua negara ini," ulas beliau.
Di samping itu, beliau turut berkata, 28 laluan terus antara Malaysia dan Indonesia itu telah membawa lebih daripada tujuh juta tetamu, seterusnya memainkan peranan penting dalam memacu pertumbuhan ekonomi, meningkatkan kesalinghubungan serantau dan menyokong sektor pelancongan tempatan.
AirAsia Malaysia kini melancarkan penerbangan terus ke 15 destinasi di seluruh Indonesia dari Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Kota Kinabalu.- DagangNews.com








