airasia Superapp, Swiss-Belhotel International perkukuh potensi jangka masa panjang perniagaan sektor pelancongan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

airasia Superapp, Swiss-Belhotel International perkukuh potensi jangka masa panjang perniagaan sektor pelancongan

Tan Mai Yin (kiri) dan Gavin M Faull ketika majlis menandatangani perjanjian kerjasama antara airasia Superapp dan Swiss-Belhotel International di Swiss-Belresort Watu Jimbar, Bali, Indonesia pada 18 Mei 2023.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 18 Mei - airasia Superapp merasmikan perjanjian kerjasama dengan Swiss-Belhotel International, yang mana adalah sebuah kumpulan pengurusan hotel paling pesat berkembang di dunia. 

 

Melalui majlis memeterai perjanjian diadakan di Swiss-Belresort Watu Jimbar Bali, Indonesia, kerjasama itu mengukuhkan kedudukan airasia Superapp sebagai platform pelancongan di Asia Tenggara, dengan menyediakan akses kepada lebih 125 hartanah Swiss-Belhotel International di 19 negara.

 

Ketua Pegawai Komersial airasia Superapp, Tan Mai Yin berkata, kerjasama itu adalah usaha pihaknya untuk mengukuhkan potensi jangka panjang perniagaan sektor pelancongan. 

 

"Kami sangat gembira untuk memeterai kerjasama ini dengan jenama terkenal seperti Swiss-Belhotel International, seterusnya mengembangkan inventori penginapan kami untuk airasia Superapp di rantau ini. 

 

"Selain menyediakan pengguna pengalaman perjalanan yang mantap, mudah dan berpatutan, perkongsian ini juga akan menjadi usaha strategik mampan untuk kami dan rakan kongsi sebagai rakan pemain dalam industri pelancongan," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Menurut Tan, selain kekayaan pangkalan data pengembara mahupun pelancong yang dimiliki sebagai Ejen Pelancongan Dalam Talian (OTA) utama di rantau ini, pihaknya menambah nilai lebih bermanfaat kepada rakan kongsi hotel dengan ekosistem mantap.

 

Katanya, ia merangkumi keupayaan tempahan lebih 700 syarikat penerbangan di seluruh dunia, perkhidmatan e-hailing di seluruh Malaysia, Bangkok (Thailand), Bali (Indonesia), platform peruncitan pengembaraan dalam talian dan barangan bebas cukai, semuanya dirangkumkan program kesetiaan bersepadu airasia rewards.

 

 

airasia

 

 

"Ini membolehkan airasia Superapp mengoptimumkan keseluruhan ekosistem kami untuk memanfaatkan setiap rakan kongsi hotel untuk mencapai sasaran pasaran yang betul," katanya.

 

Pengerusi & Presiden Swiss-Belhotel International, Gavin M Faull pula berkata, beliau berbangga dengan budaya semangat dan professionalism pihaknya, merangkumi setiap aspek hartanahnya.

 

Katanya, tumpuannya menggabungkan Standard Hospitaliti Swiss dengan semangat Asia untuk berkhidmat adalah kunci kejayaan pihaknya menggembirakan tetamu.

 

"Kami sangat teruja bekerjasama dengan airasia Superapp untuk menawarkan layanan terbaik kami kepada rangkaian pengembara yang lebih luas. 

 

"Dengan kerjasama ini, kami dapat memastikan lebih ramai orang menerima perkhidmatan dan kemudahan yang luar biasa Swiss-Belhotel International yang dikenali ramai," katanya.

 

Ini selaras dengan penyelidikan e-Conomy SEA 2022 oleh Google, Temasek, dan Bain & Company, yang meramalkan pertumbuhan positif dalam ekonomi digital Asia Tenggara, terutamanya perniagaan pelancongan dalam talian, yang dianggarkan mencapai Nilai Barangan Kasar Dolar Amerika Syarikat (AS) AS$44 bilion atau lebih daripada RM198 trilion pada 2025.

 

Sebanyak 16 jenama terkenal Swiss-Belhotel International kini telah menyertai ekosistem airasia Superapp, seperti MAUA oleh Swiss-Belhotel, Grand Swiss-Belhotel, Swiss-Belsuites, Swiss-Belboutique, Swiss-Belhotel, Swiss-Belresidences, Swiss -Belresort, Swiss-Belinn, Swiss-Belexpress, Zest, dan lain-lain.

 

Bagi meraikan perkongsian istimewa ini dan untuk menarik lebih ramai pelancong asing dan domestik untuk pulang ke Bali, airasia Superapp melancarkan kempen khas bernama #AyoKemBALI. 

 

Pengguna boleh menikmati diskaun sehingga IDR 2 juta untuk tempahan hotel di Bali, termasuk lapan hartanah terbaik dari Swiss-belhotel International, dengan masukkan kod promo AYOKEMBALI sebelum menyelesaikan pembayaran. - DagangNews.com