KUALA LUMPUR 28 Mac - airasia Super App memperkenalkan cara yang lebih ideal untuk memanfaatkan ekosistem airasia dengan pelancaran pelan langganan SUPER+, untuk pembelian di Thailand, Malaysia, Indonesia dan Filipina secara serentak mulai hari ini hingga 2 April 2022.
Pelan langganan SUPER+ baharu menawarkan pelbagai faedah menarik seperti penebusan penerbangan tanpa had di semua syarikat penerbangan AirAsia (kod penerbangan AK, FD, QZ, Z2) untuk destinasi domestik dan antarabangsa.
Faedah lain, termasuk penghantaran percuma tanpa had untuk pesanan airasia food di seluruh negara dan lokasi di mana perkhidmatan itu tersedia serta perlindungan insurans sebelum berlepas COVID-19.
Pelanggan SUPER+ boleh menebus penerbangan mereka dari 28 Mac 2022 hingga 27 Mac 2023 untuk tempoh perjalanan antara 11 April 2022 dan 10 April 2023.
Selain itu, pelanggan akan menikmati faedah daripada seluruh ekosistem airasia yang akan ditambah sebagai sebahagian daripada pelan langganan ini termasuk diskaun untuk airasia ride, airasia xpress, SNAP, hotel dan banyak lagi.
Pelan langganan SUPER+ berharga RM639 di Malaysia, THB4,999 di Thailand, IDR2.300.000 di Indonesia dan PHP6,599 di Filipina. Ia boleh dibeli di airasia Super App dengan menekan ikon ‘SUPER+.’
Pelanggan digalakkan untuk merebut peluang keemasan itu kerana hanya terdapat sejumlah 200,000 palan langganan SUPER+ yang tersedia di seluruh empat buah negara untuk masa terhad sahaja.

Semua pelanggan juga akan menikmati perlindungan insurans sebelum berlepas COVID-19, membolehkan mereka menuntut manfaat insurans sekiranya mereka dijangkiti COVID-19 dalam masa tujuh hari sebelum tarikh perlepasan yang dijadualkan.
Ketua Pegawai Eksekutif airasia Super App, Amanda Woo berkata, pelanggan akan menikmati pengalaman airasia Super App serta lebih banyak lagi dengan pelan langganan SUPER+.
"SUPER+ ialah satu-satunya produk seumpamanya di ASEAN yang menawarkan manfaat perjalanan dan gaya hidup untuk semua. Kami berbangga menjadi satu-satunya aplikasi super dalam pasaran yang mampu menawarkan pelan langganan unik ini merangkumi kedua-dua produk dan perkhidmatan pelancongan serta gaya hidup, seterusnya menjadikan kami sebagai aplikasi pilihan di rantau ini.
“Perjalanan udara kini dalam fasa pemulihan terutamanya dengan pelbagai negara di seluruh ASEAN mengumumkan pembukaan semula sempadannya dan lebih banyak Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) diumumkan. SUPER+ pastinya akan memudahkan perjalanan, menjadikannya berpatutan dan mudah untuk semua orang melawat dan meneroka pelbagai destinasi dalam rangkaian luas AirAsia," katanya dalam satu kenyataan.
Katanya, pelan langganan SUPER+ memberikan nilai terbaik kerana airasia food kini tersedia di seluruh Lembah Klang, Kota Kinabalu, Pulau Pinang, Seremban, Melaka, Johor Bahru, Ipoh, Kota Bharu, Kuching dan Miri dengan lebih banyak bandar yang akan dilancarkan akan datang. - DagangNews.com








