AirAsia sambung semula penerbangan Pulau Pinang ke Hong Kong mulai 10 Ogos 2023 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

AirAsia sambung semula penerbangan Pulau Pinang ke Hong Kong mulai 10 Ogos 2023

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 7 Jun - AirAsia terus meluaskan rangkaiannya di Asia dengan pelancaran laluan ke Hong Kong dari hab ketiga terbesarnya di Pulau Pinang bermula 10 Ogos 2023.

 

Menurut AirAsia, ini merupakan laluan antarabangsa ketujuh syarikat penerbangan itu dari Pulau Pinang dan dijangka akan meningkatkan lagi kemasukan pelancongan ke negeri itu, seterusnya memperkukuh industri pelancongan negeri yang sedang berkembang maju.

 

Penerbangan tiga kali seminggu pada Selasa, Khamis dan Sabtu itu juga menyumbang kepada sejumlah 217 penerbangan mingguan dari Pulau Pinang ke destinasi domestik dan antarabangsanya.

 

Sempena meraikan pengumuman laluan itu, AirAsia menawarkan tambang promosi hebat bermula hari ini serendah RM299 sehala untuk tempoh perjalanan dari 10 Ogos 2023 hingga 26 Oktober 2023.

 

 

dfsd

 

 

EXCO Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Pulau Pinang (PETACE), Yeoh Soon Hin berkata Hong Kong merupakan sebahagian daripada kawasan ‘Greater Bay Area’ (GBA) iaitu skim yang diwujudkan oleh Kerajaan China untuk mennjadikan wilayah sedang pesat membangun sebagai sebuah hab ekonomi dan perniagaan bersepadu.

 

“Kerajaan Negeri Pulau Pinang percaya melalui usaha sama dengan pemain industri seperti AirAsia, kami akan dapat memacu potensi industri pelancongan tempatan sepenuhnya.

 

“Kami akan terus menjalinkan kerjasama kukuh dengan sektor swasta, melaksanakan strategi pemasaran yang inovatif dan melabur dalam pembangunan infrastruktur untuk meningkatkan ketibaan pelawat, tempoh penginapan mereka dan pengalaman perjalanan mereka secara keseluruhan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

 

Yeoh Soon Hin bersama wakil AirAsia
Yeoh Soon Hin (kiri) bersama wakil AirAsia

 

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Riad Asmat menzahirkan keterujaan syarikat untuk menyambung semula laluan Pulau Pinang ke Hong Kong selepas melancarkannya buat kali pertama pada tahun 2009.

 

“Kami juga adalah satu-satunya syarikat penerbangan tambang rendah yang menghubungkan kedua-dua pulau tersebut secara terus, menawarkan lebih nilai dan akses kepada para tetamu.

 

“Ini adalah laluan bersejarah yang menarik untuk AirAsia dan kami menjangka ia akan mendapat sambutan daripada pengembara perniagaan dan riadah,” tambahnya.

 

Menurut Riad, AirAsia mempunyai rangkaian antarabangsa terbesar dari Pulau Pinang dengan bahagian pasaran sebanyak 40%.

 

“Pengembangan ini bukan sahaja memperkukuh kedudukan AirAsia di luar ASEAN malah memacu komitmen kumpulan untuk memupuk pertumbuhan ekonomi melalui pelancongan, katanya. -DagangNews.com