AirAsia perkukuh Kota Kinabalu sebagai hab kedua terbesar di Malaysia melalui pelancaran laluan baharu ke Seoul | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

AirAsia perkukuh Kota Kinabalu sebagai hab kedua terbesar di Malaysia melalui pelancaran laluan baharu ke Seoul

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 5 Dis - AirAsia terus memperkukuh Kota Kinabalu sebagai hab kedua terbesar di Malaysia dengan pelancaran laluan baharu yang menghubungkan Kota Kinabalu ke Seoul (Incheon), Korea Selatan. 

 

Dengan penambahan laluan ke Seoul, AirAsia Malaysia akan mengendalikan 18 laluan dengan 282 penerbangan mingguan dari/ke Kota Kinabalu bermula Mac 2024 dan seterusnya.

 

Laluan baharu itu akan mula beroperasi pada 4 Mac 2024 dengan kekerapan penerbangan harian. Ia memudahkan para pengembara untuk menerokai keunikan budaya, pemandangan indah dan keenakan juadah di kedua-dua destinasi dengan tambang bernilai hebat.

 

Pengumuman tersebutjuga selari dengan peningkatan jumlah pelancong dari Korea ke Sabah. Berdasarkan data terkini, Sabah mengalu-alukan kira-kira 150,000 pelancong dari Korea pada tahun ini. 

 

Selain itu, pelancong dari Korea kini menjadi salah satu pelawat utama di Sabah yang menawarkan keindahan alam dan pengalaman budaya yang unik.

 

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Riad Asmat berkata, pihaknya berbangga untuk menjadi syarikat penerbangan Malaysia pertama yang menyambungkan laluan Kota Kinabalu secara langsung ke Seoul. 

 

Beliau berkata, laluan itu berpotensi besar untuk menarik pelancong percutian dan perniagaan, menawarkan akses ke dua destinasi pelancongan yang luar biasa. 

 

 

airasia

 

 

Katanya, elancaran laluan tersebut juga seiring dengan visi untuk menghubungkan komuniti di seluruh Asia, memacu pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan integrasi serantau.

 

"Dengan pengembangan ini, AirAsia terus memperkukuh Kota Kinabalu sebagai hab kedua terbesar kami di Malaysia dengan sembilan destinasi domestik dan sembilan destinasi antarabangsa. 

 

"Pengembangan ini meningkatkan status bandar ini sebagai hab penerbangan yang berkembang pesat. 

 

"Pelancaran laluan ini juga dijangka memberi sumbangan penting kepada pertumbuhan sektor pelancongan dan perdagangan di Kota Kinabalu dan AirAsia berazam untuk memperluaskan rangkaiannya serta menjadikan perjalanan udara lebih mudah untuk diakses semua," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

 

Sempena pelancaran laluan itu, AirAsia menawarkan tambang promosi istimewa dari Kota Kinabalu ke Seoul bermula RM349 temasuk semua sehala. 

 

Tambang promosi boleh ditempah melalui airasia Superapp dan laman web bermula hari ini hingga 24 Disember 2023 untuk tempoh perjalanan antara 4 Mac dan 26 Oktober 2024. - DagangNews.com