AirAsia naik taraf proses dan sistem tempahan untuk penumpang mulai 23 November 2022 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

AirAsia naik taraf proses dan sistem tempahan untuk penumpang mulai 23 November 2022

Gambar airasia newsroom
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 11 Nov - AirAsia akan menaik taraf sistem tempahan dan proses untuk para tetamu antara 23 November 2022, pukul 9 malam dan 24 November 2022 pada 3 pagi.

 

Peningkatan sistem ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan AirAsia untuk menyediakan pengalaman dalam talian yang lebih baik kepada semua.

 

AirAsia juga ingin memaklumkan bahawa para tetamu mungkin akan menghadapi gangguan perkhidmatan semasa proses naik taraf sistem ini. 

 

Ini termasuk sistem daftar masuk secara kendiri dalam talian melalui aplikasi airasia Super App dan laman web, tempahan penerbangan pada airasia Super App dan laman web, serta penebusan mata ganjaran melalui airasia rewards. 

 

Peningkatan sistem ini juga akan memberi kesan kepada operasi penerbangan, dan akan menjejaskan ketersediaan perkhidmatan daftar masuk dan daftar masuk bagasi di semua lapangan terbang yang mana AirAsia beroperasi. 

 

Semua kakitangan berkaitan akan ditugaskan untuk membantu tetamu di lapangan terbang sekiranya proses naik taraf tersebut mengalami gangguan perkhidmatan atau mengambil masa lebih lama daripada yang dijadualkan.

 

Semua perkhidmatan lain di airasia Super App dan laman web seperti airasia ride, airasia food, hotel, dan airasia Travelmall tidak akan terjejas dan boleh diakses seperti biasa. 

 

Para tetamu yang bakal membuat perjalanan semasa tempoh naik taraf ini akan dimaklumkan melalui e-mel dan SMS. Mereka juga disyorkan untuk mengemas kini butiran peribadi untuk memastikan mereka menerima maklumat terkini mengenai status penerbangan mereka.

 

AirAsia menggalakkan semua tetamu untuk mendaftar masuk secara kendiri dalam talian melalui airasia Super App dan laman web, yang tersedia dari 14 hari sebelum tarikh perlepasan untuk semua penerbangan. 

 

Para tetamu juga disarankan untuk tiba di lapangan terbang sekurang-kurangnya empat jam sebelum waktu perlepasan untuk memastikan perjalanan lancar dan menggunakan pas masuk elektronik jika tersedia.

 

AirAsia ingin memohon maaf atas sebarang kesulitan berikutan penambahbaikan sistem ini dan akan berusaha untuk meminimumkan sebarang gangguan untuk tetamu yang bakal melakukan perjalanan dalam tempoh tersebut. - DagangNews.com