AirAsia catat 100% penumpang menerusi penerbangan tambang rendah tetap sempena CNY | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

AirAsia catat 100% penumpang menerusi penerbangan tambang rendah tetap sempena CNY

Anthony Loke dan Riad Asmat (kanan) bergambar bersama para penumpang penerbangan ke Kuching, Sarawak pada 20 Januari 2023.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 20 Jan - AirAsia mencatatkan sebanyak 100% penumpang untuk 38 penerbangan tambahan istimewa pada tambang rendah tetap hari ini hingga minggu akan datang sempena sambutan Tahun Baru Cina.

 

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, beliau berbesar hati untuk meraikan rakyat Malaysia yang teruja untuk bertemu keluarga mereka sempena sambutan Tahun Baharu Cina. 

 

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada pasukan AirAsia atas dedikasi mereka dalam menjadikan penerbangan tambang tetap ini satu realiti dan sokongan terhadap inisiatif kerajaan untuk memastikan tambang rendah serta berpatutan semasa musim perayaan. 

 

"Di sebalik cabaran yang dihadapi dalam beberapa tahun kebelakangan ini, AirAsia terus berusaha menjadi syarikat penerbangan untuk semua dan mengutamakan keperluan tetamunya.

 

“Saya berharap lebih banyak inisiatif yang sama daripada AirAsia untuk musim perayaan akan datang dan mencadangkan pemain industri lain untuk mengikutinya," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Riad Asmat pula berkata, pihaknya terus mengutamakan para tetamu dan menyediakan tambang berpatutan, terutamanya pada masa istimewa ini supaya mereka boleh pulang ke kampung halaman untuk menyambut perayaan ini bersama-sama keluarga.

 

Katanya, saat-saat seperti ini adalah sebab mengapa syarikat berusaha keras untuk menawarkan perjalanan dengan tambang berpatutan.

 

 

airasia

 

 

“Walaupun kami masih menghadapi beberapa cabaran sama seperti syarikat penerbangan lain berikutan pandemik, kami tetap komited untuk mengutamakan para tetamu dengan menawarkan penerbangan tambahan istimewa pada tambang rendah tetap," katanya.

 

Penerbangan tambahan istimewa pada tambang rendah tetap ini tersedia untuk 10 laluan antara Kuala Lumpur, Johor Bahru dan Sabah, Sarawak. 

 

 

airasia

 

 

Selain 68 penerbangan tambahan istimewa pada tambang rendah tetap, AirAsia Malaysia juga mengendalikan sebanyak 314 penerbangan mingguan sempena musim perayaan. - DagangNews.com