AirAsia anjur temuduga terbuka di Bintulu, Sandakan pada 7 Januari 2023 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

AirAsia anjur temuduga terbuka di Bintulu, Sandakan pada 7 Januari 2023

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 4 Jan - AirAsia meneruskan pencarian calon yang menepati kriteria untuk menyertai pasukan kru kabinnya melalui dua sesi temuduga terbuka yang akan diadakan secara serentak di Bintulu, Sarawak dan Sandakan, Sabah pada 7 Januari 2023.

 

AirAsia dalam satu kenyataan memaklumkan, sesi temuduga di Bintulu akan diadakan di Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC Bintulu) yang terletak di Jalan Bintulu-Sibu, manakala lokasi di Sandakan pula di pejabat Perkeso Sandakan di Prima Square.

 

"Jika anda seorang yang cergas dan bertenaga, meminati bidang penerbangan, mempunyai personaliti menarik dan berusia 18 tahun ke atas, andalah yang dicari-cari. 

 

"Jangan lupa bawa bersama CV anda yang terkini serta dokumen-dokumen berkenaan. Pendaftaran bermula pada pukul 9 pagi," katanya.

 

Tambah kenyataan itu, sesi temuduga Kru Kabin AirAsia sememangnya dinanti-nantikan dan merupakan platform terbaik untuk memulakan kerjaya dalam bidang penerbangan bersama Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terbaik Dunia.

 

Kru Kabin AirAsia yang terkenal di seluruh dunia dengan pakaian seragam merahnya yang ikonik, serta layanan terbaik dan mesra adalah tulang belakang di sebalik pengiktirafan antarabangsa yang diraih AirAsia.

 

Ia termasuklah sebagai syarikat penerbangan tambang rendah terbaik dunia dan dianugerahkan sebagai kru kabin penerbangan tambang rendah terkemuka Asia selama bertahun-tahun.

 

 

airasia

 

 

Semua kru kabin AirAsia haruslah mematuhi dan melaksanakan piawaian keselamatan yang tinggi pada setiap masa dan memastikan tetamu menikmati pengalaman penerbangan yang selesa setiap kali mereka terbang dengan AirAsia.

 

Klik di sini untuk butiran lanjut mengenai temuduga terbuka kru kabin AirAsia di Bintulu & Sandakan,  https://bit.ly/3i3clWm atau ikuti @AirAsiaCabinCrew di Instagram dan TikTok untuk maklumat lanjut. - DagangNews.com