KUALA LUMPUR 29 Mac - Paras air sungai di hilir Empangan Kenyir, Terengganu yang susut berikutan pemberhentian sementara operasi Stesen Janalektrik Sultan Mahmud (SJSM) sejak 27 Februari lalu dijangka akan meningkat semula bermula hari ini.
Tenaga Nasional Berhad (TNB) dalam satu kenyataan memaklumkan, peningkatan paras air akan membantu penduduk sekitar aliran sungai untuk meneruskan aktiviti ekonomi di sepanjang sungai.
Jelasnya, air dari Tasik Kenyir akan mengalir melalui alur limpah Empangan Kenyir iaitu satu proses normal bagi sesebuah empangan untuk mengurangkan paras tasik bagi memastikan paras air tasik tidak melebihi struktur empangan.
"Pelepasan air secara semulajadi pada paras 145 meter ini adalah mengikut reka bentuk asal yang jauh lebih rendah daripada paras 153 meter kapasiti maksimum Empangan Kenyir.
"Walaupun peningkatan paras sungai dijangka tidak mendadak, penduduk sekitar dinasihatkan untuk sentiasa mengutamakan keselamatan sepanjang pelepasan air ini berlaku," menurut kenyataan tersebut di sini.
Operasi SJSM ditutup sementara 27 Februari lalu berikutan menara penghantaran voltan tinggi bagi menyalurkan tenaga elektrik yang dijananya kepada Grid Nasional tumbang akibat tanah runtuh dalam keadaan hujan lebat luar biasa pada 25 Februari lepas. - DagangNews.com








