KUALA LUMPUR 26 Okt - Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan UMW Holdings Bhd, Datuk Seri Ahmad Fuaad Mohd Kenali akan melepaskan jawatannya pada 31 Oktober ini selepas tamat tempoh perkhidmatan.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan itu yang sedang digabungkan dengan Sime Darby Bhd itu berkata, Ahmad Fuaad juga akan menamatkan tugas sebagai Pengarah Eksekutif UMW.
Ahmad Fuaad dilantik menerajui UMW pada November 2020, berikutan kematian pendahulunya, Badrul Feisal Abdul Rahim, pada Jun tahun itu.
Sebelum menyertai UMW, Ahmad Fuaad adalah Ketua Pegawai Eksekutif Malakoff Corp Bhd dari 1 Oktober 2017 hingga 31 Oktober 2020.
Proses pengambilalihan oleh Sime Darby masih diteruskan dan dijangka selesai menjelang akhir tahun, diikuti dengan tawaran am mandatori, yang dijangka siap pada suku pertama tahun depan.
Permodalan Nasional Bhd (PNB), yang mempunyai aset di bawah pengurusan sebanyak RM341.6 bilion pada akhir 2022, merupakan pemegang saham utama Sime Darby dan UMW, yang menjadikan pengambilalihan itu sebagai transaksi pihak berkaitan.
Di bawah perjanjian pengambilalihan itu, Sime Darby membayar RM3.57 bilion atau RM5 sesaham tunai kepada PNB untuk membeli 61.2% kepentingan dalam UMW. Ia kemudiannya akan melancarkan tawaran am mandatori untuk menyapu baki 38.8% pegangan sebelum menyahsenarai syarikat daripada bursa saham.
Salah satu syarikat pengurusan dana terbesar negara, PNB memegang 37.7% kepentingan dalam Sime Darby setakat 8 September, menurut laporan tahunannya. - DagangNews.com








