Kerajaan perlu menubuhkan agensi khusus kawal selia nadir bumi di Malaysia, saran Hisamudin Yahaya | DagangNews Skip to main content

Kerajaan perlu menubuhkan agensi khusus kawal selia nadir bumi di Malaysia, saran Hisamudin Yahaya

Senator Datuk Mohd Hisamudin Yahaya
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 21 Sept - Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Mohd Hisamudin Yahaya mencadangkan Kerajaan Pusat menubuhkan sebuah agensi, badan atau syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bagi mengawal selia semua urusan berkaitan nadir bumi di negara ini.

 

Beliau berkata, dengan adanya penubuhan agensi sedemikian, negara boleh menyelaraskan penjualan keluar nadir bumi, sebagaimana Petronas mengawal selia penjualan produk petroleum walaupun sumbernya terletak di kawasan negeri-negeri. 

 

"Cadangan penubuhan agensi ini juga akan dapat mengelakkan pergaduhan antara negeri-negeri dengan Kerajaan Pusat dan seterusnya mengelak daripada eksploitasi harga, eksport haram dan kehilangan sumber nadir bumi ini.

 

"Ini sekali gus menjamin pulangan segera dan keuntungan maksimum kepada negara," katanya dalam persidangan Dewan Negara di Parlimen hari ini.

 

Hisamudin berkata, menurut kajian Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), unsur nadir bumi  kebanyakannya terletak di Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Sabah, Sarawak, Selangor dan Terengganu. 

 

Katanya, ia bermaksud sumber-sumber ini terletak di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri. 

 

"REE adalah singkatan bagi Rare Earth Elements atau elemen nadir bumi, iaitu sekumpulan 17 unsur kimia yang mempunyai banyak ciri yang serupa dan sering ditemui bersama dalam deposit geologi. 

 

"Bahan ini digunakan dalam pelbagai aplikasi seperti elektronik, magnet, pemangkin, bateri, dan lain-lain. Sumber baru ini haruslah dimanfaatkan sepenuhnya oleh negara kita," katanya.

 

Dalam pada itu, beliau turut menanyakan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berdasarkan kenyataan pada 12 September lepas bahawa nadir bumi negara adalah dilarang dieksport keluar negara.

 

"Kita juga sedia maklum bahawa satu-satunya kilang yang memproses nadir bumi terbesar di Malaysia adalah Lynas, saya ingin bertanya, adakah strategi kerajaan untuk memanfaatkan sepenuhnya Lynas ataupun kita akan membangunkan lagi kilang-kilang lain seperti Lynas?," soalnya. - DagangNews.com