Aerodyne Group, Akademi Petrosar terokai pasaran perusahaan DT3 Sarawak | DagangNews Skip to main content

Aerodyne Group, Akademi Petrosar terokai pasaran perusahaan DT3 Sarawak

Pasukan Aerodyne menjalankan pemantauan di Merdeka 118 atau dikenali Menara PNB 118
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 15 Feb - Pembekal perkhidmatan dron nombor satu dunia, Aerodyne Group menandatangani perjanjian kolaborasi bersama Akademi Petrosar untuk menerokai pasaran perusahaan berkaitan DT3 (teknologi dron, teknologi data, dan transformasi digital) di Sarawak serta pasaran serantau.

 

Gabungan kehadiran serta pengaruh kuat Petrosar di Sarawak dan pasaran serantau, dengan kepakaran Aerodyne dalam penyelesaian masalah berkaitan teknologi dron dan pengurusan data, kolaborasi ini bakal mendorong pembangunan di samping memajukan lagi keseluruhan industri teknologi di Sarawak dan Borneo. 

 

Selain itu, kerjasama ini juga bertujuan untuk menyediakan penyelesaian bertaraf dunia kepada sektor swasta dan awam supaya mencapai hasil perniagaan berprestasi tinggi serta perusahaan yang menguntungkan pelbagai industri. 

 

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Aerodyne Group, Kamarul A Muhamed berkata, kerjasama tersebut bagi merevolusikan serta mendigitalkan perniagaan di Sarawak dan pasaran Borneo, sambil menyediakan solusi teknikal canggih kepada perusahaan terlibat untuk menjadikannya lebih berdaya saing serta meningkatkan produktiviti dan penjimatan kos bagi mereka. 

 

"Ini turut membuka ruang kepada pihak berkepentingan tempatan untuk menambah baik proses perusahaan mereka dan pada masa yang sama kedua-dua pihak juga sangat teruja untuk mencipta pelbagai peluang pekerjaan yang baru di Sarawak.

 

 

dron
Kamarul A Muhamed

 

 

"Ini bakal membawa status Malaysia ke arah negara berteknologi tinggi sejajar dengan Dasar Revolusi Perindustrian Keempat Negara," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Akademi Petrosar. Azfar Z Safri pula berkata, kolaborasi strategik ialah satu penanda aras bagi pelbagai kejayaan lain yang telah dicapai untuk memacu pembangunan pelbagai industri di Sarawak dan kemajuan modal insan dengan solusi bertaraf dunia. 

 

 

dron
Azfar Z Safri

 

 

“Matlamat kami tidak terbatas dengan sempadan geografi. Akademi Petrosar mempunyai rancangan strategik untuk menjadi pemangkin kepada industri analitik dron di seluruh Borneo dan juga mula menumpukan perhatian kepada Nusantara, iaitu ibu negara baru Indonesia di Kalimantan. 

 

 

dron
Pemeriksaan industri di pencawang kuasa di Australia Barat

 

 

"Bagi pihak Petrosar, saya ingin menyatakan penghargaan kepada Aerodyne di atas kepercayaan kepada kredibiliti dan reputasi Petrosar," katanya.

 

Menurut Azfar, beliau yakin jika sekiranya perhubungan antara kerajaan (G2G) iaitu Petrajaya, Putrajaya dan Nusantara dapat dipertingkatkan lagi dengan perhubungan antara sektor swasta atau B2B, maka sudah tentu industri analitik teknologi dron akan membawa perubahan besar kepada pembangunan ekonomi digital di Borneo.

 

 

dron

 

 

Petrosar telah mula berbincang dengan perusahaan dan pihak pentadbiran di Sarawak yang berminat dengan teknologi dron dan data dapat disampaikan oleh teknologi dron ke arah era digital melalui perlaksanaan Strategi Ekonomi Digital Sarawak 2018-2022. 

 

Petrosar dan Aerodyne bakal mengubah lanskap perindustrian negeri Sarawak dengan menggunakan kepakaran mereka di dalam perkhidmatan kejuruteraan minyak dan gas, pemeriksaan dan pengurusan aset infrastruktur kritikal, pemantauan serta pelaporan projek, aktiviti kejuruteraan dan peninjauan, agrikultur ketepatan, peninjauan sekuriti dan aerial, penghantaran secara dron berteknologi tinggi dan perkhidmatan lain termasuk latihan dan pembangunan modal insan.

 

Petrosar adalah pusat latihan vokasional, teknikal dan kejuruteraan bertauliah yang berfungsi untuk menyokong perkembangan pelbagai industri tempatan. 

 

Untuk maklumat lanjut tentang Aerodyne dan Petrosar, sila lawati laman sesawang berikut iaitu kindly www.aerodyne.group dan www.petrosar.my. - DagangNews.com