KUALA LUMPUR 30 Jan - Aeon Co. (M) Bhd raih pujian atas usaha menerbitkan polisi kesihatan dan kebajikan yang melindungi ‘lima kebebasan’ haiwan dalam rantaian bekalan syarikat.
Rantaian peruncitan berpangkalan di Malaysia itu berkata, menjadi kewajipan peruncit untuk memastikan semua haiwan diperlakukan secara berperikemanusiaan, bertanggungjawab dan dengan rasa hormat.
Polisi tersebut dirangka dengan sokongan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) antarabangsa Lever Foundation.
Di bawah rangka itu, ia memerlukan pihak pembekal protein haiwan untuk menamatkan penggunaan sangkar dan peti, mengehadkan kepadatan stok, menyediakan persekitaran bersesuaian serta memenuhi piawaian tambahan yang ditetapkan oleh pakar kebajikan haiwan.

Aeon bekerjasama dengan pembekal untuk memastikan piawaian dan garis panduan baharu dipenuhi dalam tempoh 12 hingga 18 bulan berikutnya.
Polisi itu merupakan satu langkah penting ke arah melinndungi haiwan ternakan dalam rantaian bekalannya, justeru, ia memenuhi peningkatan permintaan pelanggan yang mahukan piawaian kebajikan haiwan yang lebih baik.
Pengurus Program Kelestarian Lever Foundation, Vilosha Sivaraman memuji usaha Aeon untuk terus menambah baik kebajikan ayam bertelur, ayam, lembu, ikan dan haiwan lain dalam rantaian bekalan syarikat.

"Kebanyakan syarikat makanan di Malaysia kini menaik taraf polisi kebajikan haiwan.
“Ini adalah respons baik pihak Aeon kepada peningkatan minat pengguna dari segi produk yang lebih berperikemanusiaan, mampan dan selamat.
“Dengan kehadiran polisi baharunya, Aeon telah memantapkan kedudukannya sebagai peneraju dalam bidang ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Syarikat berkenaan merupakan rangkaian kedai barangan dan pasar raya terkemuka di Malaysia dengan 28 pusat beli-belah Aeon, 34 kedai Aeon, 9 MaxValu Prime, 65 Aeon Wellness dan 42 Daiso serta 4 Komai-so di seluruh negara. - DagangNews.com








