KUALA LUMPUR 11 Ogos - Advancecon Holdings Bhd telah menerima kontrak bernilai RM45.48 juta bagi cadangan pembinaan dan penyiapan kerja tanah projek loji jana kuasa di Miri, Sarawak.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia semalam, Advancecon berkata syarikat bersekutunya, Advancecon (Sarawak) Sdn Bhd telah menerima surat anugerah (LOA) daripada Petros Power Sendirian Bhd.
Advancecon Sarawak terlibat terutamanya dalam perniagaan menyediakan perkhidmatan kerja tanah dan kejuruteraan awam serta perkhidmatan lain yang berkaitan.
Menurut Advacecon, ia dilantik sebagai kontraktor bagi cadangan pembinaan dan penyiapan kerja tanah dan kerja-kerja lain yang berkaitan, berhubung dengan pembangunan Pakej 1 Kerja Tanah projek loji janakuasa Turbin Gas Kitaran Gabungan Miri (MCCGT).
Kumpulan itu berkata tempoh kontrak adalah 12 bulan dari tarikh LOA.
Kumpulan itu berhasrat untuk membiayai kontrak melalui dana yang dijana secara dalaman dan/atau pinjaman luar.
Pada waktu penulisan, saham Advancecon menokok 0.5 sen atau 1.37% kepada 37 sen dengan permodalan pasarannya bernilai RM216 juta. - DagangNews.com








