KUALA LUMPUR 15 Julai - Advancecon Holdings Bhd memeterai perjanjian usaha sama dan perjanjian pemegang saham bersama dengan Perak Equity Sdn Bhd, sebuah unit Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk), untuk membangunkan asrama pekerja berpusat (CLQs) di negeri tersebut.
Menurut Advancecon, perjanjian tersebut mengesahkan peranan dan tanggungjawab kedua-dua pihak dalam pembangunan, pembinaan, operasi, pengurusan, dan penyelenggaraan CLQs di tanah-tanah strategik di negeri tersebut.
Advancecon akan menyumbangkan kepakaran teknikal, jualan dan pemasaran yang penting untuk pelaksanaan projek usaha sama (JV), dengan memberi tumpuan kepada peningkatan dan pembinaan CLQs baru di tanah dan bangunan strategik.
“Perjanjian usahasama ini menandakan capaian penting dalam kerjasama kami dengan PKNPk untuk menyampaikan penginapan pekerja berkualiti tinggi yang memenuhi keperluan semakin meningkat dari industri yang melabur di Perak.
"Kami berazam untuk memanfaatkan kepakaran kami untuk menyokong pertumbuhan ekonomi negeri dan agenda ESG serta berkolaborasi dalam lebih banyak projek CLQ pada masa akan datang," kata Ketua Eksekutif kumpulan, Datuk Phum Ang Kia.
Jelas Advancecon, inisiatif ini berikutan permintaan yang meningkat daripada pihak industri di Perak terhadap penginapan berkualiti tinggi untuk pekerja mereka.
"Di bawah terma perjanjian, anak syarikat sepenuhnya milik Advancecon, Advancecon Ventures Sdn Bhd, akan menyimpan 70% pegangan dalam syarikat usahasama, CLQ Silvervalley Sdn Bhd (CLQ Silvervalley), manakala Perak Equity Sdn Bhd (Perak Equity) akan memegang 30% pegangan.
ARTIKEL BERKAITAN: PKNPk bangunkan model penginapan pekerja berpusat pertama di Perak
"Usahasama ini dibina atas kejayaan kerjasama Advancecon dengan PKNPk sejak tahun 2022," ujarnya.
Sementara itu, dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia, Advancecon berkata, perjanjian tersebut yang dimeterai hari ini melibatkan anak syarikatnya, Advancecon Ventures Sdn. Bhd. (AVSB) dan CLQ Silvervalley Sdn. Bhd. (Syarikat Usahasama), anak syarikat sepenuhnya tidak langsung.
Katanya, perjanjian berkenaan turut merangkumi aspek pengurusan dua blok bangunan apartmen di Jelapang iaitu Blok Asrama Murni A dan Blok Asrama Murni B yang telah dinaik taraf dan diubah suai oleh Advancecon menjadi penginapan asrama dan ditukar menjadi CLQ.
"Rasional bagi usaha sama usul ini adalah untuk membolehkan Syarikat JV memanfaatkan kekuatan kedua-dua syarikat dalam industri pembinaan dan pembangunan.
"Dengan memanfaatkan sinergi dan peluang, perkongsian ini dijangkakan akan memberi sumbangan positif kepada pendapatan serta aliran pendapatan berulang Advancecon dalam jangka sederhana hingga panjang, memacu fasa pertumbuhan seterusnya," jelasnya.- DagangNews.com








