KUALA LUMPUR 2 Dis - Saham Advance Synergy Bhd., yang dilaporkan mempunyai kaitan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, paling aktif diniagakan pagi ini dengan meningkat 11.43% atau dua sen kepada 19.5 sen.
Advance Synergy menjadi saham paling aktif di Bursa Malaysia selepas ia menyaksikan 190 juta saham bertukar tangan sebelum rehat tengah hari, diniagakan antara 17.5 sen dan 20 sen, walaupun syarikat itu melaporkan kerugian bersih suku ketiga berturut-turut.
Setakat 3.03 petang ini, harga sahamnya menokok 15 sen atau 8.57% kepada 19 sen dengan 194.02 juta saham diniagakan.
Menurut laporan The Edge, harga sahamnya setakat tahun ini telah melonjak 116.67% atau 11 sen daripada sembilan sen sebelum itu.
Paling tinggi direkodkan pada 24 November lalu, sebanyak 26 sen dengan 1.92 bilion saham diniagakan apabila Anwar dilantik secara rasmi sebagai perdana menteri Malaysia ke-10.
Dalam laporan kewangan yang diumumkan Selasa lalu, Advance Synergy merekodkan kerugian bersih sebanyak RM6.52 juta bagi suku ketiga berakhir 30 September 2022, menurun sedikit daripada RM6.81 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya.
Pendapatan pada suku berkenaan bagaimanapun meningkat kepada RM64.36 juta daripada RM26.7 juta.
Untuk tempoh kumulatif sembilan bulan, ia mencatat kerugian bersih sebanyak RM19.24 juta dengan pendapatan berjumlah RM153.6 juta.
Menurut kumpulan itu, perbelanjaan mengurus meningkat kepada RM57.5 juta bagi tempoh sembilan bulan pertama 2022 daripada RM53.8 juta pada tempoh sama tahun lalu disebabkan perbelanjaan pentadbiran yang lebih tinggi.
Secara dasarnya, Advance Synergy terbabit dalam pelbagai perniagaan perkhidmatan termasuk hotel dan pusat peranginan, teknologi maklumat dan komunikasi, pembangunan hartanah, pelancongan, perkhidmatan kad dan pembayaran serta pendidikan.
Setakat 30 September 2022, kumpulan mempunyai jumlah aset semasa berjumlah RM250.66 juta dan jumlah liabiliti semasa berjumlah RM127.89 juta. - DagangNews.com








