KUALA LUMPUR 24 Jan - Sebanyak 13 bank ahli di bawah kelolaan Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia (ABM) dan Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM) berjaya menghalang transaksi penipuan bernilai RM351 juta serta melindungi pelanggan daripada pelbagai jenis penipuan, sejak Januari hingga Oktober 2023.
Kedua-dua persatuan itu dalam kenyataan bersama memaklumkan, pencapaian tersebut mencerminkan komitmen industri perbankan yang tinggi terhadap langkah pencegahan penipuan, yang mana mereka terus berwaspada dan proaktif dalam usaha anti-penipuan.
Katanya, menerusi pelancaran kempen kesedaran #JanganKenaScam industri perbankan baru-baru ini, tindakan pengesanan dan pencegahan bank berjaya menyelamatkan pelanggan daripada ditipu melalui skim seperti e-dagang, permohonan pekerjaan, pelaburan, penyamaran serta penipuan pancingan data.
"Kempen Kesedaran Penipuan Kebangsaan yang pertama dilancarkan pada Oktober 2022, yang mana industri perbankan secara progresif melaksanakan lima langkah utama dicadangkan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk memerangi penipuan kewangan.
"Langkah-langkah terdiri daripada berhijrah daripada kata laluan satu kali SMS (OTP) kepada kaedah pengesahan yang lebih selamat, mengetatkan peraturan pengesanan penipuan bank, tempoh pengesahan dan bertenang untuk pendaftaran kali pertama perkhidmatan e-perbankan atau peranti selamat, membenarkan hanya satu peranti mudah alih atau peranti selamat untuk didaftarkan dan saluran aduan khusus 24/7 untuk pelanggan.
"Pelanggan dan orang awam secara keseluruhannya juga dijemput untuk menyertai usaha menentang penipuan kewangan melalui mesej daripada bank tentang pelbagai jenis penipuan dan tindakan mitigasi penipuan yang sepadan, melalui pelbagai platform media massa dan sosial bank," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.
Pengerusi ABM, Datuk Khairussaleh Ramli berkata, usaha bersepadu dalam mewujudkan persekitaran lebih berwaspada dan keupayaan untuk mengelakkan penipuan oleh ABM dan AIBIM menandakan usaha kolektif persatuan dan bank ahli untuk mewujudkan persekitaran perbankan yang selamat.
"Ini membolehkan pelanggan mempercayai keselamatan transaksi kewangan mereka. Dengan kerjasama dan pematuhan kepada amalan terbaik industri, kami berhasrat untuk mengukuhkan asas ekosistem perbankan kami dengan menawarkan pelanggan hak ketenangan fikiran mereka," katanya.
Presiden AIBIM, Datuk Mohd Muazzam Mohamed pula berkata, reaksi positif daripada pelanggan membuktikan keberkesanan inisiatif kolektif pihaknya, langkah keselamatan yang dipertingkatkan dalam usaha pencegahan penipuan akhirnya membantu menyelamatkan sejumlah besar dana mereka dari penipuan kewangan.
Sementara itu, ABM, AIBIM dan bank ahli mereka akan terus bekerjasama rapat dengan agensi penguat kuasa undang-undang dan pengawal selia kewangan termasuk BNM, Polis Diraja Malaysia serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan pihak berkepentingan seperti CyberSecurity Malaysia untuk membantu menyebarkan mesej bahawa pelanggan harus kekal berwaspada dan berhati-hati semasa menjalankan transaksi kewangan.
"ABM dan AIBIM menggesa individu melaporkan sebarang aktiviti yang mencurigakan dengan segera kepada bank masing-masing supaya pihak bank boleh mengambil tindakan yang perlu.
"Umum yang menjadi mangsa penipuan kewangan juga boleh memaklumkan Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NSRC) dengan menghubungi talian hotline NSRC di 997," katanya. - DagangNews.com








