KUALA LUMPUR 23 Mac - Datuk Abd. Aziz Sheikh Fadzir meletakkan jawatan sebagai pengerusi TH Heavy Engineering Bhd. (THHE) berkuat kuasa hari ini.
Abd. Aziz, 58, dilantik sebagai pengerusi bebas dan bukan eksekutif syarikat berstatus Nota Amalan 17 (PN17) itu sejak 25 Mei 2021.
"Peletakan jawatan ini atas alasan mahu memberi tumpuan kepada komitmen peribadi," menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini.
Berdasarkan laman web THHE, Abd. Aziz pernah bekerja di beberapa syarikat pembinaan dan pembangunan hartanah sebelum menyertai Gold Bridge Engineering and Construction Bhd. sebagai Pengarah Eksekutif yang bertanggungjawab ke atas keseluruhan pengurusan dan operasi sejak 1989.
Abd. Aziz juga sebelum ini dilantik sebagai Pengerusi Rangkaian Hotel Seri Malaysia dan Utusan (Melayu) Malaysia Bhd. masing-masing sehingga 2018 dan 2019.
Beliau yang merupakan bekas Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu di Kedah itu merupakan lulusan Ijazah Sains Perakaunan dari Purdue University, Indiana, Amerika Syarikat (AS).
Pada 9 Mac lalu, Bursa Malaysia Securities Bhd. (Bursa Securities) telah memberikan lanjutan masa kepada TH Heavy Engineering Bhd sehingga 22 Ogos 2022 untuk menyerahkan pelan penyusunan semulanya kepada pihak berkuasa berkaitan untuk mendapatkan kelulusan.
Syarikat itu mengemukakan rayuan kepada Bursa Securities pada 9 Disember 2021 berhubung keputusan untuk nyahsenarai dan menimbang semula keputusannya untuk memberi lanjutan masa lagi.
Pemain industri minyak dan gas itu tergelincir dalam status PN17 sejak April 2017 dan sudah beberapa kali menerima lanjutan bagi mengemukakan pelan penyusunan semula.
Ia menjadi penerbit terjejas selepas juruauditnya menyatakan penafian pendapat mengenai penyata kewangan terauditnya bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2016.
Untuk tahun kewangan penuh berakhir 31 Disember 2021, kerugian bersihnya berjumlah RM15.78 juta daripada RM56.29 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya manakala pendapatan merosot kepada RM9.36 juta berbanding RM61.92 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya. - DagangNews.com








