82% peniaga vape gesa kerajaan laksana peraturan kawal selia industri vape - tinjauan MVIA | DagangNews Skip to main content

82% peniaga vape gesa kerajaan laksana peraturan kawal selia industri vape - tinjauan MVIA

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 10 Feb - Sejumlah 82% peniaga vape tempatan menggesa kerajaan agar segera melaksanakan peraturan kawal selia industri vape setelah ia ditangguhkan sejak 2015, menurut tinjauan yang dilakukan oleh Malaysian Vape Industry Advocacy (MVIA).

 

Hasil tinjauan tersebut mendapati 95% responden berpandangan peraturan akan menghalang penjualan kepada kanak-kanak.

 

Sementara itu, 75% bersetuju peraturan akan membantu memastikan produk vape memenuhi standard keselamatan dan kualiti.

 

Presiden MVIA, Rizani Zakarian berkata, tinjauan pendapat daripada 160 usahawan dan perniagaan vape tempatan itu menunjukkan sokongan yang menggalakkan kepada kerajaan untuk memperkenalkan peraturan tersebut.

 

"Ini tidak menghairankan kerana seruan untuk peraturan selalu dibangkitkan di peringkat akar umbi.

 

“Selain itu, sebahagian besar perniagaan vape telah mengawal selia sendiri dan mematuhi piawaian tertinggi untuk memastikan keselamatan produk. 

 

“Pelaburan yang besar juga telah dibuat untuk memastikan industri ini terus maju ke hadapan. 

 

 

Infografik tinjauan MVIA

 

 

“Bagaimanapun, pemain industri setakat ini masih bimbang kerana belum ada langkah yang diambil untuk memastikan peraturan diperkenalkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Rizani berkata, tindakan segera perlu dilakukan oleh kerajaan untuk kawal selia industri vape dan tidak menunggu akta baharu dibentangkan di Parlimen.

 

“Ini bagi memastikan aktiviti industri dikawal dengan pantas untuk mengelakkan penjualan produk kepada kanak-kanak dan pada masa yang sama, industri ini dapat terus berkembang sambil menyumbang kepada ekonomi negara,” jelasnya.

 

Tambahnya, industri vape dianggarkan bernilai RM2.27 bilion pada 2019, angka yang dilihat signifikan menyumbang kepada pengambilan pekerja tempatan dan berupaya memacu pelaburan asing dan domestik.

 

“Melalui tinjauan pendapat kami, jelas menunjukkkan pemain vape terbuka dan bersedia untuk dikawal tanpa peraturan drastik bagi membolehkan mereka terus menyumbang kepada ekonomi,” katanya.

 

Beliau merujuk kepada dapatan tinjauan di mana 85% responden berpendapat bahawa peraturan tidak boleh terlalu drastik.

 

Pada tahun lalu, ramai pemain industri menyatakan kebimbangan mereka terhadap cadangan generasi penamat dan menyeru agar kerajaan menyemak dan menilai semula cadangan itu. – DagangNews.com