74% penduduk setuju Airbnb beri kesan positif kepada komuniti di Pulau Pinang | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

74% penduduk setuju Airbnb beri kesan positif kepada komuniti di Pulau Pinang

Mich Goh
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 23 Mei - Lebih 74% penduduk Pulau Pinang bersetuju bahawa menyewakan kediaman melalui Airbnb memberi kesan positif kepada komuniti mereka, menurut kajian platform hospitaliti global itu.

 

Airbnb dalam kenyataan hari ini berkata, penginapan sewaan jangka pendek (STRA) terus mendapat sokongan kuat di negeri itu.

 

Katanya, berikutan pengumuman kerajaan Pulau Pinang mengenai garis panduan tempatan baharu untuk STRA, Airbnb menegaskan sekali lagi kepentingan STRA untuk pertumbuhan pelancongan tempatan dan nasional.

 

"Kami menggalakkan Badan Pengurusan Bersama (JMB) dan Perbadanan Pengurusan (MC) bangunan strata tempatan untuk mempertimbangkan manfaat ekonomi jangka panjang STRA apabila melaksanakan garis panduan mereka sendiri di peringkat bangunan individu," katanya.

 

Airbnb berkata, 75% penduduk Malaysia bersetuju STRA harus dibenarkan di pangsapuri kosong untuk menangani situasi hartanah tidak terjual di Pulau Pinang, Johor, Kuala Lumpur dan Selangor. 

 

Menurut statistik daripada Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC), Pulau Pinang mempunyai bilangan hartanah kediaman yang berlebihan atau tidak terjual ketiga tertinggi di Malaysia pada 2022, dengan 3,593 unit bernilai RM2.74 bilion.

 

"Dalam aspek perlancongan, kemampuan berbelanja terus menjadi kriteria utama bagi warga Pulau Pinang, dengan penduduk tempatan yang ditinjau bimbang dengan kenaikan kos sara hidup yang lebih menyukarkan orang ramai untuk melancong," katanya.

 

Kaji selidik itu juga mendedahkan sebanyak 68% penduduk Pulau Pinang ingin menempah penginapan dengan platform itu, manakala 57% berhasrat untuk menjadi hos di Airbnb tahun depan. 

 

Sementara itu, Ketua Dasar Awam Airbnb Asia Tenggara, India, Hong Kong dan Taiwan, Mich Goh berkata, keputusan kajian terkini itu jelas membuktikan peranan STRA yang kian penting ketika sektor pelancongan menyaksikan pemulihan ketara terutamanya di Pulau Pinang. 

 

Katanya, Kerajaan Persekutuan sedang membangunkan garis panduan STRA yang boleh dirujuk semua negeri, bagi membolehkan lebih ramai rakyat Malaysia menyumbang dan mendapat manfaat  pelancongan melalui perkongsian penginapan. 

 

"Kami komited untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan untuk menyokong dan mendidik hos bertanggungjawab, dengan menggunakan Tatakelakuan STRA Malaysia dan Talian Sokongan Kejiranan yang pertama dalam industri ini," katanya. - DagangNews.com